Wajar dilaksanakan tanpa kompromi

Keratan laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Zairudin
Keratan laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Zairudin
A
A
A

SHAH ALAM - Penempatan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) wajar dilaksanakan tanpa kompromi untuk mengelakkan kesan buruk dalam jangka masa panjang.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, jika rasuah dibiarkan berleluasa ia akan meningkatkan risiko kerugian, mudarat dan liabiliti yang terpaksa ditanggung oleh negara dan rakyat.

“Konteks agenda memerangi jenayah ini memerlukan beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira termasuk kos penambahan pihak penguat kuasa SPRM di KLIA,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, SPRM akan mempertimbangkan cadangan bagi menempatkan pegawai suruhanjaya itu di KLIA sebagai langkah mengekang kegiatan rasuah di pintu masuk utama negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mengkaji sejauh mana kepentingan menempatkan pegawainya di lapangan terbang berkenaan.

Justeru, Zairudin berkata, bukan sahaja penguat kuasa SPRM perlu ditambah malah jumlah penguat kuasa imigresen juga perlu ditingkatkan.

“Tadbir urus sistem serta prosedur kerja Jabatan Imigresen juga perlu diperbaiki dari dalaman dan pemerkasaan dari segi pendidikan wajar dilaksanakan bagi mendidik pegawai dalaman serta orang luar mengenai elemen integriti dalam penguatkuasaan.

“Pihak Jabatan Imigresen mesti meningkatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM dalam memastikan segala usaha dilaksanakan jabatan tersebut membuahkan hasil,” tegasnya.

Tambah beliau, tindakan itu bukan sahaja perlu dilakukan di KLIA sahaja malah di pelbagai agensi kritikal yang lain termasuk Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor; Bahagian Keselamatan dan Pasport, Putrajaya; Akademi Imigresen Malaysia serta di Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sarawak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!