Ibu tunggal tidak mampu kerja selepas hidap kanser tahap tiga
PADANG TERAP - Seorang ibu tunggal tidak mampu meneruskan pekerjaan sebagai pembantu kedai makan selepas disahkan menghidap kanser payu dara tahap tiga pada Oktober tahun lalu.
Zainah Khasim, 51, berkata, keadaan itu menimbulkan kesukaran kepadanya sekeluarga dalam meneruskan hidup apatah lagi terpaksa mendiami rumah pusaka tinggalan kedua orang tuanya yang sudah uzur, bumbung bocor setiap kali hujan selain dimamah anai.
Menurutnya, walaupun menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 setiap bulan, namun ia belum mencukupi bagi menampung kos perubatan, dalam masa sama perlu membiayai pendidikan anak bongsunya berusia 20 tahun yang kini berada di pusat pengajian agama di Pahang.
"Ubat memang saya tidak beli dari luar harap ubat hospital saja. Wang bantuan memang tidak cukuplah," katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal di Kampung Tanjung, dekat sini.
Zainah berkata, anak sulung berusia 26 tahun kini tinggal bersama bekas suami manakala anak kedua berusia 25 tahun pula telah berkahwin dan menetap di Selangor.
Mengulas lanjut, Zainah memberitahu beliau dikesan menghidap penyakit tersebut selepas diperiksa doktor pakar Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar yang menemui ketulan pada payu dara kanan dan dinasihatkan untuk jalani pembedahan bagi membuang bahagian terlibat.
Sementara itu, Zuraini berkata, pihaknya akan membantu Zainah menampung kos ulang alik ke hospital bagi menjalani kemoterapi dan pemeriksaan lanjut.
Tambahnya, CSM turut menyalurkan bantuan barangan keperluan dapur dan susu khas bagi meringankan beban yang ditanggung oleh ibu tunggal tersebut.
Bagi mereka yang mahu membantu Zainah boleh menghubunginya di nombor 019-4919072 atau menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya 0211341000095446.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!