Kesepaduan sosial bantu SEARCCT cegah ekstremisme ganas
Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Luar Negeri (KLN) yang berperanan untuk melaksanakan program-program bina upaya, latihan dan penyelidikan dalam bidang pencegahan keganasan serta ekstremisme ganas (P/CVE).
"SEARCCT memainkan peranan aktif dalam mengetengahkan pendekatan masyarakat menyeluruh (whole-of-society) dalam usaha-usaha mencegah ektremisme ganas (PCVE)." Menteri Luar Negeri, Dato Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir
Menurut Ketua Pengarah SEARCCT, Datuk Ganeson Sivagurunathan, pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk menentang keganasan dan ekstremisme ganas perlu melibatkan komuniti setempat dan antarabangsa, sektor awam serta swasta.
Malahan jelasnya, organisasi masyarakat sivil, serta kumpulan-kumpulan berkepentingan lain seperti belia, wanita, pemimpin agama dan masyarakat juga perlu dilibatkan dalam program menentang anasir-anasir negatif yang mengancam negara itu.
“Perkongsian kepakaran dan pengetahuan antara pihak-pihak tersebut akan meningkatkan lagi tahap keberkesanan program-program yang dilaksanakan. Ia juga akan mencambahkan kesedaran orang awam akan kepentingan daya tahan komuniti dan digital dalam membendung keganasan," katanya.
Ia adalah sejajar dengan visi SEARCCT iaitu ke arah komuniti yang kukuh dalam menangani keganasan dan ekstremisme ganas.
Pada 2022, inisiatif-inisiatif P/CVE diteruskan oleh SEARCCT dengan penganjuran 28 program dalam bentuk latihan, webinar, bengkel dan program kesedaran awam yang menyentuh topik mencegah radikalisasi, keselamatan siber, kesepaduan sosial serta sebagainya.
Bertumpukan pendekatan pelbagai pihak berkepentingan atau seluruh masyarakat, SEARCCT sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa.
SEARCCT juga ingin merakam jutaan terima kasih kepada rakan-rakan kolaborasi yang sentiasa menyokong dan berganding bahu bersama SEARCCT dalam usaha memerangi keganasan. Semoga kerjasama ini sentiasa berterusan.
Untuk maklumat lanjut berkenaan inisiatif-inisiatif SEARCCT, orang ramai boleh menghubungi SEARCCT di info@searcct.gov.my atau layari laman web www.searcct.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!