Lompat parti, Umno semakin goyah?

No Image Caption
A
A
A
SHAH ALAM - Bilangan Ahli Parlimen Umno yang keluar meninggalkan parti itu semakin bertambah dan timbul persoalan jika situasi ini berterusan adakah Umno akan terbubar.

Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, sebenarnya masih terlalu awal untuk mengatakan Umno akan terbubar.

Menurutnya, Umno sebuah parti yang matang dan perlu diakui bahawa parti orang Melayu ini masih mempunyai pemimpin yang berwibawa serta ahli yang setia.

"Mereka ini lah yang akan terus berjuang dengan Umno, tidak akan membiarkan sewenang-wenangnya Umno musnah atau terbubar begitu sahaja.

"Namun tidak dinafikan dengan situasi sekarang ini, Umno memang terjejas, lemah dan goyah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Azizuddin berkata, Umno perlu perkukuhkan semula pasukannya, nyatakan dengan jelas hala tuju sebenar mereka kepada ahli dan akar umbi.

"Kepimpinan Umno sekarang ini juga jelas sedang menghadapi banyak masalah, dan itu sedikit sebanyak mengganggu fokus mereka terhadap usaha memulihkan Umno.

"Terutamanya presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang mana beliau turut menerima tekanan daripada ahli agar berundur kerana dikatakan gagal menyatukan ahli Umno dalam satu pasukan selain menghadapi pertuduhan mahkamah," katanya.

Mohd Azizuddin berkata, jika pemimpin Umno benar-benar memainkan peranan mereka hari ini, Umno mampu bangkit.
Artikel Berkaitan:


"Tapi ia akan mengambil masa yang agak panjang ditambah jika semakin ramai yang keluar (parti), masalah Umno akan semakin besar dan saya tidak tolak kemungkinan ada lagi Ahli Parlimen Umno yang akan mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Tanah Merah dan juga rakan-rakan mereka di Sabah.

"Itu realiti politik, jika mereka kehilangan kuasa, maka banyak masalah akan dihadapi," katanya.

Mohd Azizuddin memberitahu, Umno masih ada peluang untuk kembali menjadi kerajaan lima tahun akan datang.

"Untuk memastikan itu berlaku, mereka perlu ada perancangan tersusun dan strategi yang tepat.

"Situasi seperti itu (parti yang kalah bangkit kembali menjadi kerajaan) juga pernah berlaku pada negara-negara yang mengamalkan sistem yang hampir sama dengan Malaysia antaranya Australia, dan New Zealand, Jepun dan India.

"Malah, sebenarnya situasi itu juga pernah berlaku di negara kita seperti di Kedah, dahulu diperintah oleh BN, kemudian Pas ambil alih, BN ambil alih lagi dan sekarang diperintah oleh PH, begitu juga dengan Perak," katanya.

Mohd Azizuddin menambah, dalam masa yang sama untuk Umno kembali menjadi kerajaan, parti pemerintah sekarang ini perlu dilihat oleh rakyat sebagai kerajaan yang gagal.

"Contoh, mereka gagal dan tidak mampu mentadbir negara dengan baik, berlaku krisis dan pergolakan sesama parti komponen dan sebagainya.

"Dalam PRU rakyat akan memilih dan menilai, rakyat sekali lagi akan menggunakan kuasa mereka untuk mengangkat mana parti yang mereka yakin mampu mentadbir negara dengan baik," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!