Dua wanita maut, SUV dinaiki terbabas
LUMUT - Dua wanita warga Indonesia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki bersama tujuh yang lain terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Kilometer 9, Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar di sini pada Isnin.
Dalam nahas sekitar jam 7 malam itu, wanita berusia 28 tahun dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Seri Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kesemua mangsa warga Indonesia didapati berhimpit dalam kenderaan jenis Toyota Harrier.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, kenderaan itu bergerak dari dari arah Simpang Tiga ke Simpang Lima, Pekan Gurney, Sitiawan di sini.
"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba tayar pecah menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas melanggar batu dan terbalik ke dalam parit.
"Pemandu seorang lelaki dianggarkan berusia 30 tahun dan empat penumpang wanita lingkungan 20-an dan tiga kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun mengalami kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Mohamed Nordin berkata, kesemua mangsa yang parah dibawa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung.
"Seorang wanita yang meninggal dunia dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat. Mangsa kedua meninggal ketika menerima rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Tambah beliau, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti kesemua mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Siti Nur Athira Ramlan di talian 018-9702345 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!