Amirudin luah hasrat terus terajui kerajaan Selangor
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi bayangan untuk terus menerajui kepimpinan kerajaan negeri jika gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Pengerusi PH Selangor itu berkata, beliau cenderung untuk terus menjawat jawatan berkenaan bagi membantu kerajaan negeri melengkapkan pelaksanaan pelbagai pelan pembangunan yang telah dirangka bagi kelestarian ekonomi dan kesejahteraan rakyat Selangor.
"Walaupun pelan itu adalah kerja berpasukan, saya percaya saya juga bertanggungjawab untuk melunaskan dan melengkapkan pelaksanaan pelan yang telah ditawarkan kepada rakyat terutamanya dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
"Hasrat ini juga seiring dengan komitmen saya untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang saya sandang ketika ini pada PRN akan datang," katanya dalam temu bual bersama Bernama.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata, hasrat tersebut sekali gus menafikan khabar angin bahawa terdapat perancangan untuk menukar kedudukannya sebagai Menteri Besar kepada Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan selepas PRN.
Menurut Amirudin, secara umumnya kepimpinan PH di peringkat negeri sepakat dan bersetuju untuk beliau terus mentadbir Selangor sebagai Menteri Besar.
"Cakap-cakap di luar sana banyaklah... ada yang kata saya akan ke Persekutuan, tukar dari Menteri Besar kepada Menteri Kabinet tetapi sebagaimana saya, PH Selangor juga cenderung dan sepakat untuk saya kekal sebagai Menteri Besar.
"Setakat ini perbincangan dengan Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tiada perancangan untuk saya bertukar atau sebagainya,” katanya dan menambah sebagai ahli parti beliau akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan di peringkat pusat.
Amirudin menyandang kerusi DUN Sungai Tua (sebelum ini dikenali sebagai DUN Batu Caves) sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2018 dan terus kekal di kerusi itu untuk tiga penggal berturut-turut hingga PRU14.
Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang pada 19 Jun 2018 selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Dalam pada itu, Amirudin menempelak Perikatan Nasional (PN) yang tidak berani menamakan calon Menteri Besar di sebalik usaha agresif beberapa pimpinan parti itu termasuk Mohamed Azmin yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa menonjolkan diri sebagai pejuang rakyat Selangor.
Katanya, situasi tersebut menunjukkan PN tidak yakin dengan keupayaan bekas Menteri Besar itu walaupun sebelum ini Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Bersatu akan menduduki kerusi Menteri Besar sekiranya pakatan yang turut disertai PAS dan Gerakan memperoleh majoriti dalam PRN nanti.
"Bukan setakat tidak berani menamakan siapa-siapa untuk menduduki kerusi Menteri Besar, malah orang yang dikatakan bakal Menteri Besar itu juga sampai sekarang pun masih berteka-teki mengenai kerusi yang hendak ditandingi.
"Saya tahu rakan-rakan kita dalam PAS juga berhajat dan berniat besar untuk menjadi Menteri Besar, malah akar umbi mereka percaya calon PAS lebih layak untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor," katanya.
Sehubungan itu, Amirudin menggesa rakyat Selangor membuat pilihan bijak dengan mengundi calon PH-BN dalam PRN akan datang demi menjamin kesinambungan pentadbiran yang ternyata berjaya mengemudi Selangor menjadi negeri paling cemerlang dari aspek pembangunan ekonomi dan sosial walaupun terpaksa berhadapan dengan situasi getir pandemik COVID-19 serta kelembapan ekonomi dunia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!