Pemilik bengkel maut, pekerja cedera dalam kebakaran

Anggota bomba memadam kebakaran sebuah bengkel lori di Taman Mutiara Rini. - Foto Bomba
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah bengkel lori di Taman Mutiara Rini. - Foto Bomba
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang pemilik bengkel lori maut, manakala pekerjanya cedera selepas premis itu di Taman Mutiara Rini di sini terbakar pada malam Isnin.

Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Faiz Suleiman berkata, panggilan berhubung kebakaran itu diterima pada jam 11.36 malam, sebelum 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Larkin dan Pekan Nanas bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel jenis kekal.

"Semasa kejadian, telah berlaku letupan dan kesan letupan tersebut telah mengakibatkan kerosakan pada cermin tingkap rumah yang berada pada jarak lebih kurang 30 meter dari bengkel tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Faiz, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 11.39 malam Isnin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan kejadian dan mangsa berusia 41 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pekerja lelaki berusia 27 tahun cedera di bahagian kaki dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!