Bakul Rahmah bukti kerajaan prihatin
Program Bakul Rahmah yang menyediakan barangan asas atau baucar bernilai RM100 untuk keluarga miskin tegar merupakan bantuan di bawah inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2023.
Ia manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama beberapa rakan strategik.
Bantuan Bakul Rahmah diberikan setiap bulan untuk tempoh enam bulan kepada setiap ketua isi rumah miskin tegar.
Pengerusi Yayasan Global Mesra, Mohd Nasir Mohd Rashid berkata, Rahmah memberi makna kasih sayang dan sentiasa menitikberatkan elemen sedekah dalam setiap transaksi yang dibuat.
Menurutnya, mesej ini penting dalam memastikan semua pihak terutama golongan sasar tidak dilupakan serta kebajikan mereka sentiasa terjaga.
Jelasnya, edaran Bakul Rahmah mendapat banyak maklum balas yang positif daripada semua penerima.
“Penerima berterima kasih dan bersyukur atas sumbangan yang diterima. Kami juga mendapat banyak permintaan daripada kawasan Parlimen yang masih belum mendapat agihan.
“Kami benar-benar ingin menyahut seruan kerajaan dalam mengedarkan bantuan kepada golongan sasar dengan kualiti barang yang baik,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdapat 12 barangan keperluan asas di dalam setiap kotak Bakul Rahmah. Pihak Yayasan Global Mesra telah mengedarkan lebih daripada 31,000 kotak Bakul Rahmah ke beberapa kawasan Parlimen.
Menurut Mohd Nasir, pihaknya mendapat banyak permintaan daripada peniaga borong dan runcit yang ingin turut serta dalam pembekalan Bakul Rahmah.
Bagaimanapun, setiap pembekal akan disaring dari pelbagai aspek termasuk kualiti barang, kemampuan pengeluaran dan kesediaan mereka untuk membantu usaha murni Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani ini.
“Setakat ini kami telah menjalin usaha sama dengan beberapa syarikat Bumiputera seperti HMJ Berkat Holdings (pembekal kotak), Edaran Komachi (pemborong beras), Al-Amin Barokah (pembekal barang keperluan), Mydin (pembekal barang keperluan) dan Mesra Indah Jaya (syarikat penghantaran/ logistik),” katanya.
Agih lebih 73,000 Bakul Rahmah
Sementara itu, sebanyak 73,842 Bakul Rahmah telah diagihkan oleh Yayasan Al-Manjie sejak program berkenaan dilancarkan.
Pengasasnya, Zuwairi Japri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 27 syarikat terlibat secara langsung dalam menjayakan program berkenaan setakat 2 Jun lalu.
Menurutnya, tugas yayasan adalah mengumpul barang-barang yang diperoleh daripada syarikat khususnya kilang pengeluar makanan dan minuman.
“Setiap barang keperluan itu akan dibungkus mengikut nilai RM50 hingga RM130 bergantung kepada penerimanya.
“Sebagai contoh, untuk program food bank siswa, persatuan pelajar atau mahasiswa universiti berkenaan akan buat permohonan dan kami sediakan barang yang diperlukan.
“Lazimnya untuk siswa, kita sediakan biskut dan paket minuman sesuai dengan keperluan harian mereka,” katanya.
Beliau berkata, antara syarikat yang terlibat ialah Mamee Double Decker (M) (makanan ringan/Mi Segera); Asri Vegetables Oil Products (Minyak, Tepung Gandum) dan Fama (sayur-sayuran dan buah-buahan).
Bagaimanapun, tumpuan diberikan kepada agihan barang keperluan isi rumah seperti gula, tepung, minyak masak dan beras.
Keperluan untuk warga emas, dewasa dan kanak-kanak yang melibatkan sumbangan lampin pakai buang dan tisu tandas turut disediakan oleh Vinda Malaysia Sdn Bhd.
Mengulas lanjut mengenai program Bakul Rahmah, beliau berkata bantuan tersebut wajar diteruskan bagi mengurangkan beban mereka yang memerlukan khususnya golongan B40 dan mahasiswa yang tinggal di bandar.
“Ini merupakan salah satu daripada inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dan pastinya yayasan seperti kami berbesar hati untuk membantu,” katanya.
Layari www.belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk mendapatkan manfaat daripada inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.
#Belanjawan2023
#BelanjawanMADANI
REAKSI RAKYAT:
“Program food bank (Bakul Rahmah) untuk siswa banyak membantu meringankan perbelanjaan bulanan kami yang menuntut dan tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur.” - Ahmad Bukhori Mohd Azmi, 27 (Mahasiswa)
“Program Bakul Rahmah perlu diteruskan kerana ia dapat membantu mengurangkan beban golongan rakyat seperti kami.” - Roshaidi Mustafa, 34 (Pemandu lori)
"Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu menambah senarai individu yang layak menerusi program bantuan kerajaan negeri.” - Fazirah Razali, 29 (Pekerja swasta)
“Kena banyakkan lagi pihak yang menawarkan insiatif Bakul Rahmah ini termasuk pasar raya dan pusat membeli-belah.” - Syahwalludeen Mustapha, 31 (Pekerja GLC)
“Inisiatif Bakul Rahmah perlu dijadikan program berterusan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.” - Nuri Farizan 20 (Pelajar politeknik)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!