'Bukan semua orang mampu ternak ayam' - Chean Chung

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Lee Chean Chung
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Lee Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri MuhyiddinYassin perlu faham bukan semua rakyat mempunyai kebun atau halaman rumah sebesar dimiliki beliau untuk menternak 30 hingga 40 ekor ayam.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung berkata, rakyat juga tidak boleh menternak ayam sesuka hati kerana berkemungkinan akan disaman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Hakikat bahawa Muhyiddin masih melayan isu telur menunjukkan Perikatan Nasional (PN) sudah bankrup idea untuk membantu rakyat dan tidak ada isu lain yang boleh dipermainkan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Ahli Parlimen Pagoh pada Isnin menyatakan beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai salah satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.

Jelas Pengerusi PN itu, berdasarkan kajian empirikal yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik ke atas 1,200 responden mendapati masalah yang paling ketara didepani rakyat adalah kos sara hidup.

Ujar Chean Chung, kenyataan Muhyiddin membuktikan usaha Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan subsidi bersasar adalah betul.

“Setakat ini orang kaya seperti Muhyiddin masih menikmati subsidi ayam dan telur seperti rakyat biasa. Padahal golongan seperti Muhyiddin yang mampu menjadi penternak di rumah sendiri, adalah tidak layak menikmati sebarang subsidi dari kerajaan.

“Sewaktu kerajaan membincangkan isu subsidi bersasar, PN yang paling lantang menolak idea tersebut.

“Sekarang rakyat boleh menilai, PN yang bankrup idea ini yang juga mempertahankan dasar subsidi untuk orang kaya, rupanya untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Petaling Jaya itu, sememangnya kenyataan Muhyiddin mahu menyindir kerajaan pada hari ini, namun ia umpama meludah ke langit, muka juga yang basah.

Katanya, selepas kerajaan Perpaduan mentadbir negara, terdapat kekurangan telur bermula November 2022 yang mana negara kekurangan 157 juta biji telur ayam di pasaran tempatan pada ketika itu.

“Siapa kerajaan pada masa itu? Tidak lain tidak bukan PN.

“Jika waktu itu Muhyiddin prihatin dengan rakyat, sudah tentu kerajaan boleh buat sesuatu untuk berhadapan dengan isu tersebut.

“Muhyiddin juga kena sedar bahawa keadaan cepat bertambah baik sejurus selepas Kerajaan Perpaduan mengambil alih, dan sekarang pasaran memang jarang sekali menghadapi kekurangan telur,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!