Pegawai bank rugi RM102,700, terpedaya skim pelaburan
KUANTAN - Seorang pegawai bank di daerah ini berputih mata apabila wang simpanan berjumlah lebih RM102,700 lebur selepas menjadi mangsa skim pelaburan saham tidak wujud pada Jun lalu.
Kejadian bermula apabila lelaki berusia 32 tahun itu, melihat satu iklan ketika melayari Facebook pada 2 Jun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, mangsa dikatakan akan menerima memberi beberapa buah buku pelaburan secara percuma menerusi iklan terbabit.
Menurutnya, mangsa perlu memasukkan maklumat peribadi menerusi di pautan yang diberi melalui aplikasi WhatsApp.
"Mangsa seterusnya masuk ke dalam aplikasi sistem trade saham selepas menekan pautan terbabit.
"Suspek kemudian menawarkan pelaburan saham dan dikatakan akan menerima keuntungan sebanyak 30 peratus setelah melabur RM100,000," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa yang terpedaya dengan keuntungan lumayan telah membuat 12 kali transaksi ke enam akaun bank yang berlainan dalam tempoh tiga minggu.
"Sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan sendiri," katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
"Mana-mana syarikat atau individu yang tidak diberi lesen atau kebenaran dari BNM (Bank Negara Malaysia) tidak boleh menerima deposit daripada mana-mana pihak.
"Semakan alert pelaburan di laman web BNM https://www.bnm.gov.my/financial-consumer-alert-list dan laman web SC https://www.sc.com.my/regulation/enforcement/investor-alerts/sc-investor-alerts/investor-alert-list," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!