Pekerja kemahiran tinggi capai 28 peratus
MARANG - Sebanyak 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi dicapai setakat ini di Malaysia, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud.
Justeru, beliau berkata, pihaknya optimis untuk mencapai sasaran peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor tersebut menjelang tahun 2030.
Menurutnya, dalam usaha merealisasikan sasaran itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkasakan bagi menarik minat golongan muda memilih bidang berkenaan sebagai pilihan kerjaya.
"Kita sedang bekerja keras supaya menjenamakan semula TVET ini bagi memastikan generasi muda, ibu bapa dan masyarakat di luar sana melihat TVET sebagai laluan kerjaya utama.
"Ini kerana kebanyakan negara maju sekarang memang menjadikan TVET sebagai bidang utama dan sebab itu kita perlu pastikan perkara berkenaan turut berlaku sama di negara ini," katanya kepada pemberita selepas program Sesi Libat Urus Tripartite 2023 Zon Timur di sini pada Selasa.
Sementara itu, Mustapha berkata, pelbagai usaha dan kerjasama diperlukan daripada semua pihak untuk menarik minat golongan muda menceburi dalam bidang industri kreatif di negara ini.
"Program kita adakan pada hari ini melibatkan pihak industri, pihak penyedia latihan dan juga majikan serta peserta untuk mencari formula terbaik kerana akui sememangnya anak-anak muda sekarang ni kurang meminati industri kreatif.
"Ia memerlukan kerjasama semua pihak dari peringkat sekolah, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan institusi pengajian tinggi (IPT) supaya boleh pastikan anak-anak itu didedahkan pada industri kreatif batik dan membuat kraftangan.
"Jadi kita harap pemain industri membawa pelajar ini ke kilang mereka untuk membuat lawatan bagi memperlihatkan ia sebagai suatu kerjaya yang menarik kepada anak-anak terbabit," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!