Kerajaan kaji dasar, undang-undang banteras 'Ali Baba' - PM

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar serta strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti 'Ali Baba'.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Isnin.

Katanya, secara prinsip budaya ‘Ali Baba’ memberi dampak negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti tersebut.

“Anggaran kerugian mencecah sekitar satu peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan melibatkan aspek perolehan, pelesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Anwar berkata, beberapa kementerian dan agensi kerajaan serta Jabatan Peguam Negara yang terbabit dengan kajian tersebut akan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri.

Beliau yang juga Menteri Kewangan juga mengumumkan, kerajaan sedia mempercepat inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

Katanya, projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR adalah bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu Kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.

"Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative).

"Peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai 2023 dan disusuli oleh peluncuran NETR Fasa Kedua pada Ogos 2023," katanya.

Jelas beliau, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara, bagi memastikan penambahbaikan tata kelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.

"Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!