Pearly perlu sedikit masa lagi
PEMAIN beregu wanita utama negara, Pearly Tan dijangka pulih sepenuhnya daripada kecederaan siku dialami dalam tempoh tiga hari lagi.
Jurulatih beregu wanita, Hoon Thien How berkata, walaupun Pearly semakin sembuh sepenuhnya, langkah berjaga-jaga diambil dalam sesi latihan bagi mengelak risiko kecederaan yang mungkin akan kembali menghantui pemain itu.
“Kita akan perlahan-lahan naikkan 'power' (kekuatan fizikal) Pearly dalam latihan, tak boleh terus paksa,” katanya kepada media selepas sesi latihan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi kepada Pearly dan pasangannya, M. Thinaah yang akan kembali beraksi pada Terbuka Korea 2023 di Yeosu bermula 18 hingga 23 Julai ini.
Thien How hanya mahu melihat Pearly membina semula keyakinan diri serta momentum permainan selepas direhatkan lebih sebulan akibat kecederaan dialami ketika menyertai Terbuka Singapura 2023 awal bulan lepas.
Pada 7 Jun, Pearly-Thinaah menarik diri pada pusingan pembukaan Terbuka Singapura semasa menentang pasangan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di set ketiga, susulan kecederaan Pearly ketika pasangan Jepun itu mendahului 16-9.
Pearly-Thinaah tewas set pertama 13-21, namun juara Sukan Komanwel 2022 itu kembali menang pada set kedua, 21-17.
Kecederaan tersebut turut menyebabkan juara Terbuka Perancis 2022 itu terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Indonesia 2023.
Biarpun terlepas beberapa peluang untuk mengumpul mata dalam misi memburu slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Thien How sebaliknya percaya anak buahnya mempunyai banyak lagi kejohanan untuk membuat demikian demi merealisasikan impian beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.
Kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 yang sedang rancak berlangsung sejak 1 Mei lepas, dijangka berakhir 28 April tahun depan.
Sukan Olimpik 2024 dijadualkan membuka tirai pada 26 Julai dan berakhir 11 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!