Inisiatif Payung Rahmah terbukti berjaya stabilkan inflasi
KUALA LUMPUR - Inisiatif Payung Rahmah yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terbukti berjaya menstabilkan inflasi pada kadar yang lebih rendah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kedudukan inflasi dengan trend mereda bagi Subkumpulan Makanan di Luar Rumah iaitu pada kadar 8.1 peratus turut disumbangkan oleh pengenalan Menu Rahmah pada 31 Januari lepas.
"Inflasi pada Mei 2023 yang mereda pada kadar 2.8 peratus disumbangkan antaranya oleh inflasi Kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol yang mereda kepada 5.9 peratus (Mei 2023), berbanding 6.3 peratus (April 2023).
"Subkumpulan Makanan di Rumah mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah iaitu 4.3 peratus (Mei 2023) berbanding lima peratus (April 2023), manakala Subkumpulan Makanan di Luar Rumah berjaya diturunkan kepada kadar 8.1 peratus (Mei 2023) berbanding 9.6 peratus (November 2022)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, setakat ini, terdapat sebanyak 2,922 bilangan operator pengusaha Menu Rahmah di seluruh negara dan 290 pengusaha Menu Siswa Rahmah (dahulunya dikenali sebagai kafe Rahmah) di universiti awam dan politeknik.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, program Jualan Rahmah yang menawarkan diskaun harga barangan makanan dan keperluan asas hingga 30 peratus sedang giat dilaksanakan melibatkan 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, dengan 3,557 lokasi Jualan Rahmah telah dilaksanakan setakat 30 Jun lepas.
Beliau berkata, penekanan diberikan kepada pelaksanaan Jualan Rahmah secara bergerak dengan tanda pagar #KedaiCariRakyat bagi memastikan manfaat program itu dapat dinikmati oleh lebih ramai golongan rakyat berpendapatan rendah.
"Program Jualan Rahmah KPDN turut disokong dengan Jualan AgroMadani oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang membawa hasil pertanian terus dari ladang pada harga yang lebih murah. Sehingga kini, sebanyak 620 Jualan AgroMadani telah dilaksanakan termasuklah di 52 premis kerajaan di seluruh negara," katanya.
Bagi mengekang kenaikan harga barang yang tidak terkawal, Salahuddin berkata, Kerajaan Perpaduan meneruskan dasar mengawal harga sama ada dengan atau tanpa subsidi bagi barangan keperluan utama rakyat seperti minyak masak botol dan peket, gula putih bertapis kasar dan halus, ayam bulat, telur gred A, B dan C, beras putih tempatan, LPG (gas petroleum cecair), RON 95 dan diesel.
Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan turut dilaksanakan oleh KPDN bagi memastikan bekalan mencukupi, harga kawalan dipatuhi selain mengelakkan ketirisan.
"Sehingga Jun 2023, sebanyak 440,327 bilangan pemeriksaan telah dilaksanakan dan sebanyak 854 kes berjaya direkodkan melibatkan RM11.8 juta nilai sitaan atau rampasan. Selain itu, KPDN turut memantau harga bagi 480 item dengan 186 item dipantau secara harian,” katanya.
Salahuddin berkata, hasil pemantauan yang dilakukan menunjukkan harga kebanyakan item atau barangan adalah stabil bagi tempoh empat bulan terkini, termasuk bagi 61 item barangan import dengan 82 peratus daripadanya (50 item) berada dalam harga yang stabil.
Menurutnya daripada jumlah itu, 28 item merekodkan penurunan harga antaranya ayam belanda, daging kambing bebiri bertulang (Australia), daging lembu blade, daging kerbau block dan blade (India), lobak merah, bawang besar (Pakistan), bawang kecil merah (India dan Myanmar) dan ubi kentang russet.
"KPDN akan terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini,” katanya. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!