15 Ogos keputusan permohonan Muhyiddin batal kes salah guna kuasa
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan 15 Ogos depan untuk keputusan permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Dalam kes ini, pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Grarib.
Pembelaan bagi pihak Muhyiddin selaku pemohon pula dibarisi peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Amer Hamzah Arshad.
“Saya memerlukan masa untuk meneliti hujahan kedua-dua pihak, jadi saya akan tetapkan tarikh lain untuk keputusan permohonan ini.
“Tarikh keputusan ialah pada 15 Ogos, jam 9 pagi,” katanya.
Pada 18 April lalu, Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Beliau turut memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu selain berhasrat agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah berikutan tiada mana-mana satu pun mendedahkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.
Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.
Pada 13 Mac lalu, Muhyiddin didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.
Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!