Banglo mewah di Sik bukan milik Sanusi

Tangkap layar sebuah banglo di Sik yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tular di media sosial pada Isnin.
Tangkap layar sebuah banglo di Sik yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tular di media sosial pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] - Pejabat Menteri Besar Kedah menafikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ada kaitan dengan foto sebuah banglo di Sik seperti ditularkan di media sosial, pada Isnin.

Menurut Pejabat Menteri Besar Kedah dalam satu kenyataan, foto lengkap dengan imej google map itu cuba digambarkan ada kaitan dengan Menteri Besar Kedah hingga timbul tanggapan kononnya banglo itu milik beliau.

Kata kenyataan itu lagi, foto sedang ditularkan oleh pemfitnah dan pendengki di serata media sosial itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

"Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) untuk mempengaruhi orang ramai percaya Menteri Besar Kedah kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah seperti itu.

"Rumah itu bukan milik beliau. Tidak ada wang Menteri Besar Kedah diguna untuk bina rumah itu walau satu sen," katanya pada Selasa.

Pejabat Menteri Besar Kedah menjelaskan kediaman itu adalah milik orang lain yang dibina hasil titik peluhnya sendiri setelah bekerja keras selama puluhan tahun.

"Selama ini, pemilik kediaman itu mengumpul wang bekerja sebagai penyelam di dasar laut hingga terpaksa tinggalkan isteri dan anak-anak hingga tiga atau empat bulan sekali baru boleh balik ke rumah.

"Bukan sekali dua tetapi banyak kali ketika isterinya bertarung nyawa melahirkan anak, si suami pula sedang bertarung dengan yu dan jerung di dasar laut. Mereka suami isteri, termasuk anak-anak telah banyak berkorban selama ini," katanya.

Menurut Pejabat Menteri Besar Kedah, amat menyedihkan ada pula orang yang dengki dan sakit hati hingga tergamak menjaja fitnah konon rumah itu bukan milik mereka tatkala sampai masa untuk mereka mengecap sedikit kegembiraan dapat masuk rumah yang baru siap.

"Apa salah mereka kepada kalian? Kumpul duit setelah berpuluh tahun kerja mempertaruhkan nyawa dalam keadaan begitu bahaya untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada ahli keluarga, adakah salah?,"katanya.

Kenyataan itu turut memberitahu, pemilik rumah itu bukan orang politik, malah tiada kena mengena dengan politik ataupun pilihan raya.

Pejabat Menteri Besar Kedah turut mempersoalkan mengapa pemilik rumah dijadikan mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri.

Soalnya lagi, apa salah pemilik kediaman itu kepada semua hingga tidak berkira kira langsung menyebar fitnah sedangkan tidak kenal pun siapa pemilik rumah itu.

"Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan Muhammad Sanusi Md Nor. Adakah kerana pemilik rumah abang kepada Menteri Besar, dia hilang hak untuk bina rumah besar walaupun dia ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu?," katanya.

Pejabat Menteri Besar Kedah berkata, begitu mudah ada pihak membuat persepsi sedangkan ia bukanlah realiti.

"Antara kalian ada yang tidak pernah lalu malah tidak tahu pun rumah itu di mana. Orang Sik rata ratanya tahu rumah itu rumah Budin, bukan Sanusi.

"Menurut Muhammad Sanusi sebagai adik, beliau tahu abangnya seorang berhati cekal, kuat kerja dan berdisiplin, malah mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup.

Menurutnya, abang kepada Menteri Besar Kedah itu juga bijak menguruskan wang dan membeli harta dan dia sendiri kagum dengan pengorbanan dan kesanggupannya.

"Menteri Besar Kedah sendiri mengakui kagum dengan pengorbanan dan kesanggupan abangnya berusaha mencari kesenangan keluarga.Hentikan fitnah seperti ini kerana ia hanya membawa dosa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!