LRA Karak 2 dijangka beroperasi pada Ogos
TEMERLOH - Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Karak 2, dekat Jambu Rias di Bentong dijangka dapat menamatkan keresahan lebih 19,000 penduduk di Lanchang yang berdepan masalah bekalan air dipercayai sejak puluhan tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, loji yang menelan kos RM38.3 juta itu dijangka beroperasi pada Ogos depan.
"Sebelum ini penduduk sekitar Lanchang bergantung dengan LRA Lubuk Kawah yang kini mencapai usia 40 tahun selain jaraknya lebih 40 kilometer (km) serta tidak mampu lagi memenuhi permintaan bekalan pengguna bagi keperluan pembangunan baharu.
"Pengujian dan pentauliahan (T&C) dalam tempoh empat hari dan bagi saya masa lagi sebulan lebih, Insya-ALLAH loji ini boleh beroperasi pada Ogos nanti," kata beliau selepas pertemuan dengan wakil penduduk Lanchang, di sini pada Selasa.
Hadir sama wakil dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK), Pengurusan Aset Air Berhad (PAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Pada 3 Mei lalu, wakil penduduk kawasan itu mengutarakan masalah mereka kepada kementerian terbabit dengan perjumpaan bersama Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sementara itu, penduduk Taman Setia S Batumalai, 44, berharap loji itu dapat beroperasi seperti dijadualkan sekali gus dapat menyelesaikan kesulitan yang dihadapi penduduk selama ini.
"Macam saya, sudah lebih 20 tahun berdepan masalah ini sejak tinggal di taman ini, kena berjaga tengah malam nak simpan air.
"Disebabkan masalah ini, anak-anak pun tak mahu balik ke rumah dan soalan pertama ditanya, ada air tak," ujarnya yang bekerja sebagai juruelektrik.
Bagi warga emas M Sucela, 61, pula berkata, masalah itu perlu segera diatasi kerana ia banyak menjejaskan kehidupan harian.
"Sejak tinggal di taman ini pada 1995, masalah sekejap air ada, sekejap tak ada memang menyusahkan.
"Macam saya sendiri, bila ada air kadang jam 3 pagi, terus masak sebab tak tahu bila air ada, selain tampung untuk kegunaan keluarga," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!