Tiada pindaan babit pengeluaran penuh pencarum usia 55, 60 tahun

KWSP sahkan tiada sebarang pindaan dirancang babit pengeluaran penuh bagi pencarum berumur 55 dan 60 tahun. Gambar kecil: Nurhisham
KWSP sahkan tiada sebarang pindaan dirancang babit pengeluaran penuh bagi pencarum berumur 55 dan 60 tahun. Gambar kecil: Nurhisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesahkan tiada sebarang pindaan dirancang membabitkan pengeluaran penuh bagi pencarum berumur 55 dan 60 tahun.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, perkhidmatan pengeluaran bulanan KWSP yang sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.

Menurutnya, cadangan pengeluaran mandatori bulanan akan hanya melibatkan ahli-ahli baharu, buat sementara ini bagi mereka yang lahir pada atau selepas 2010, serta berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baru ini.

“Bayaran pertama di bawah kaedah mandatori ini akan dibuat selepas persaraan ahli-ahli ini, yang dijangkakan hanya akan berlaku beberapa dekad dari sekarang,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Selasa.

Nurhisham berkata, cadangan berkenaan masih sedang diteliti, dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli.

“Mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain, kerana negara kita adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala,” katanya

Difahamkan pada 2022, lebih 7,000 ahli telah secara sukarela menerima pakai pilihan pembayaran bulanan.

Proses memformalkan mekanisme pengeluaran bulanan yang dicadangkan masih dikaji dan akan mengambil kira keupayaan dan kesediaan ahli untuk melakukan peralihan tersebut.

Perubahan yang dicadangkan berkemungkinan besar memerlukan perubahan generasi dan penukaran akan mengambil masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!