PRN: UMNO sedia hantar calon di DUN Jeram Padang

Jalaluddin (enam kiri) bersama Ramli (lima kiri) pada majlis berkenaan.
Jalaluddin (enam kiri) bersama Ramli (lima kiri) pada majlis berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan bersedia menghantar calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang selepas MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, bagaimanapun pihaknya akan berbincang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenainya sebelum keputusan dimuktamadkan.

"MIC baru sahaja umumkan (tidak bertanding), jadi saya akan berbincang dengan presiden dan apabila MIC sudah buat keputusan tentunya presiden akan beritahu calon bagaimana yang akan kita kemukakan

"UMNO bersedia untuk menghantar atau pun memilih calon dalam kalangan pimpinan UMNO. Jika ini dipersetujui oleh presiden dan pimpinan BN, maka kita ada beberapa calon yang bakal kita pertaruhkan di Jeram Padang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Ramah Mesra dengan kepimpinan Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor merangkap Pengerusi Sekretariat Pembangunan Ekonomi dan Usahawan Masyarakat Orang Asli.

Media sebelum ini melaporkan selepas MCA, kini MIC turut mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri bulan depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran dalam kenyataan baru-baru ini dan keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lepas setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

DUN Jeram Padang kini disandang oleh Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L Manickam yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan PRU14.

Kerusi berkenaan dianggap kubu kuat MIC yang mana Ahli-ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang sebelum Manickam ialah Datuk M Sundram (PRU9), Datuk T Rajagopalu (PRU10), L Krishnan (PRU11) dan Datuk VS Mogan (PRU12).

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, pengumuman calon BN nanti akan dilakukan lebih awal.

"Tiada kejutan (calon) cuma ada lama, ada orang baru dan tentunya calon BN Negeri Sembilan ini merupakan calon berwibawa, sedia berkhidmat untuk rakyat malah yang penting calon ini menjiwai hati nurani dan keperluan pengundi di kawasan masing-masing.

"Saya juga menjangkakan kerusi untuk BN akan bertambah cumanya jumlah itu akan diumumkan oleh majlis presiden dalam masa terdekat. Tapi kita sedia maklum 16 kerusi yang ditandingi oleh BN tentunya saya menunggu dua lagi yang kita pohon," katanya.

Dalam pada beliau enggan mengulas sama ada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau atau sebaliknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!