Parti baharu ditubuhkan Orang Asli tindakan tidak sihat - Ramli

Ramli (baju biru) dan Jalaluddin (empat, kiri) ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis.
Ramli (baju biru) dan Jalaluddin (empat, kiri) ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis.
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor menyifatkan kewujudan parti baharu yang ditubuhkan oleh masyarakat Orang Asli baru-baru ini sebagai tindakan yang tidak sihat.

Beliau berkata, penubuhan parti itu telah pun disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"RoS telah sahkan mengenai penubuhan parti itu dan bagi saya ini satu perkara yang tidak sihat kerana ia akan memecah belahkan masyarakat Orang Asli.

"Masyarakat Orang Asli ini hanya ada 213,000 di seluruh negara dan mereka ada di merata tempat.

"Oleh itu kuasa politik Orang Asli ini akan jadi semakin mengecil kerana kita tahu politik menentukan dasar dan kalau dilihat perbandingan parti baharu ini apa matlamatnya?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Ramah Mesra dengan kepimpinan Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias merangkap Pengerusi UMNO Negeri Sembilan.

Ramli yang juga Pengerusi Sekretariat Pembangunan Ekonomi dan Usahawan Masyarakat Orang Asli bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada kewujudan parti terbabit melibatkan parti politik tertentu yang mempunyai kepentingan.

"Tapi kewujudan parti itu mesti ada matlamat dan lihatlah pada perlembangannya dan apa hala tujunya.

"Tapi kuasa Orang Asli ini terlampau kecil dan mesti bersama dengan parti yang lebih besar untuk tentukan kuasa politik," katanya.

Dalam pada itu beliau berpendapat masyarakat terbabit merupakan penyokong kuat Barisan Nasional (BN).

"Boleh saya katakan 90 peratus bersama BN dan di Parlimen Cameron Highlands kira-kira 80 hingga 90 peratus semuanya menyokong BN.

"Kita 'maintain' dan kita juga kena paham kalau senario politik tidak stabil kita nak bawa kemajuan pun susah," katanya.

Menurut Ramli, beliau yang mewakili masyarakat Orang Asli di Parlimen sentiasa memberi tumpuan soal pembangunan ekonomi, sahsiah,sosial dan kebajikan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!