Pemuda maut motosikal rempuh belakang lori
KLUANG - Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti untuk masuk ke simpang di Kilometer 6, Jalan Kluang-Teck Wah Hing, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada jam 10.07 pagi itu melibatkan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC dan lori jenis Hino.
"Hasil siasatan awal mendapati motosikal dan lori tersebut datang dari arah sama iaitu dari bandar Kluang menghala ke Renggam.
"Tiba di tempat kejadian lori itu berhenti untuk masuk ke persimpangan di sebelah kiri yang jalannya menuruni bukit.
"Tiba-tiba motosikal mangsa yang datang dari belakang tidak sempat mengelak dan menyebabkannya melanggar belakang sebelah kanan lori terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, penunggang motosikal dikenali sebagai Mohd Azizi, 33, beralamat di Benut, Pontian, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di sini untuk rawatan kecemasan.
"Bagaimanapun, pada jam 2.25 petang, waris mangsa datang ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang membuat aduan bahawa penunggang motosikal terbabit telah meninggal dunia di wad kecemasan.
"Pemandu lori, Mohd Daniel, 22, yang beralamat di daerah ini tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!