PRN: 'Kalau BN umum 21 Julai, saya buat pada 20 Julai' - Anwar

Anwar ketika dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Selasa.
Anwar ketika dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Kalau Barisan Nasional (BN) sebut (umum pembahagian kerusi) 21 Julai, saya ingat nak buat pada 20 Julai," kata Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh.

Beliau berkata demikian susulan jawapan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pertanyaan mengenai pembahagian kerusi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebelum itu, Anwar terlebih dahulu ditanya mengenai soalan tersebut dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Selasa.

Menurutnya, masih ada beberapa negeri yang belum selesai soal pembahagian kerusi PH untuk PRN dan dijangka akan selesai pada malam ini.

"Ia (pembahagian kerusi) akan muktamad di semua negeri, ada satu dua negeri sahaja yang kita akan bincang. Malam ini akan selesai.

"Bagi pengumuman calon pula, dalam dua tiga hari ini kita akan bagi tarikh," katanya menjawab pertanyaan itu pada Selasa.

Sementara itu, Ahmad Zahid mencelah, BN akan mengumumkan keputusan pembahagian kerusi bagi gabungan parti itu untuk PRN bagi enam negeri itu pada 21 Julai ini.

"Untuk BN, kita akan umumkan pada 21 haribulan (Julai), malam. Untuk seluruh enam negeri," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!