Ketua peneroka sambut baik usaha kerajaan hapus hutang Felda, tampil jelas perkara sebenar

Gambar kecil: Sulong Jamil
Gambar kecil: Sulong Jamil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, Sulong Jamil Mohamed Shariff menyambut baik usaha Kerajaan Perpaduan dalam menghapuskan RM9.9 bilion hutang peneroka Felda yang telah lama membelenggu para peneroka.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau turut tampil bagi menjelaskan perkara sebenar termasuklah janji mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghapuskan hutang tersebut semasa tempoh pentadbirannya.

“Penghapusan hutang-hutang peneroka adalah perjuangan wakil-wakil peneroka di bawah Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) yang diketuai oleh saya sebagai Ketua Peneroka Kebangsaan.

“Kami melihat 15 tahun Felda tidak mengeluarkan penyata hutang kepada peneroka. Banyak rungutan dari peneroka seperti ada hutang yang tidak wajar sebagai contoh; sepatutnya membaja setahun lima kali. Tapi Felda buat dua kali, cas hutang pada peneroka lima kali. Ini salah satu sebab peneroka ragu dan tidak puas hati,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Jelasnya, beliau telah berjumpa dengan Pengerusi Felda pada masa itu iaitu Tan Sri Idris Jusoh bagi melakukan perbincangan mengenai isu hutang ini.

“Selaku Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, saya telah bincangkan perkara ini bersama Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh dimasa itu. Jalan Penyelesaiannya, Felda kena hapuskan hutang-hutang Peneroka sehingga 2019.

“Perkara ini dipersetujui bersama oleh Felda dan peneroka. Felda telah merangka kaedah pemotongan ini. Apabila Pemansuhan ini berlaku, Felda telah berjumpa kerajaan pada masa itu yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apabila pemansuhan ini berlaku, Felda sudah hilang punca pendapatan, bagaimana nak bayar hutang-hutang bank, KWSP dan lain-lain?” katanya lagi.

Menurut Sulong Jamil, kerajaan pada masa itu telah bersetuju untuk mengeluarkan sukuk dengan jaminan kerajaan tetapi persoalan samada kerajaan telah memeterai perjanjian dengan Felda bagi pembayaran semula sukuk ini tidak dimaklumkan.

“Kerajaan pada masa itu telah bersetuju untuk mengeluarkan sukuk RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan. Dengan jaminan kerajaan tersebut, bank-bank telah mengeluarkan kewangan untuk disalurkan kepada Felda.

“Saya sendiri bersama Tan Sri Idris Jusoh, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Presiden Kami Anak Felda (KAF) dan wakil dari pengurusan Felda untuk berjumpa Tan Sri Muhyiddin di parlimen. Setelah diberi penerangan mengenai sukuk ini,kami berpuas hati dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau.

“Semasa dalam penerangan, beliau berkali-kali mengingatkan bahawa ini bukan percuma dan perlu dibayar balik sehinggalah ketika bersalaman hendak pulang, beliau masih mengulangi ayat yang sama.

“Setelah kewangan dapat dari bank-bank, Felda telah membayar segala hutang-hutangnya termasuk membeli saham-saham Future Growth Value (FGV) yang dikuasai sebanyak 82 peratus. Samada Kerajaan sudah mementerai perjanjian dengan Felda bagaimana sukuk ini harus dibayar, itu kita tidak dimaklumkan dan sehingga habis tahun 2022, ibarat masih menunggu buah yang tidak gugur,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangi satu jaminan kerajaan dan bersetuju untuk membantu Felda sebanyak RM1 bilion setahun untuk membayar pinjaman Felda menerusi sukuk diterbitkan.

“Apabila Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan negara yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, beliau telah menyemak perkara ini bersama Kementerian Kewangan.

“Pada hujung bulan Jun 2023, beliau telah menandatangani satu Jaminan dari kerajaan untuk merealisasikan perjanjian terdahulu untuk membantu Felda sebanyak RM 1 bilion setahun untuk membayar pinjaman pokok melalui sukuk RM 9.9 bilion,” katanya lagi.

Jelasnya, perkara ini menyebabkan Felda dapat menarik nafas lega dan beranggapan bahawa mereka boleh beroperasi serta berjalan seperti biasa dalam tempoh masa lapan tahun lagi.

“Apabila ini berlaku, Felda menarik nafas lega, Felda hanya perlu mendapatkan lain-lain sumber pendapatan yg salah satunya dari FGV Land Lease Agreement (LLA), kilang dan sebagainya yang akan menjana pendapatan sebanyak lebih RM1 bilion.

“Dengan pendapatan ini, Felda boleh membayar gaji kakitangan, faedah bank, pendahuluan tanam semula peneroka, pendahuluan baja, sara hidup dan aktiviti-aktiviti lain yang membabitkan kebajikan peneroka.

“Mungkin dalam masa lapan tahun, Felda sudah boleh berjalan seperti biasa dan kembali kelandasan asal penubuhannya,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan bahawa Kerajaan meluluskan jaminan sehingga RM9.9 bilion untuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerbitkan sukuk bagi menyempurnakan pelaksanaan pelupusan hutang peneroka.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, bermula tahun ini, kerajaan menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda itu yang antara lainnya membiayai hapus kira hutang peneroka. – UMNO Online

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!