Hukum beraksi di stadium kosong
BERAKSI di stadium kosong merupakan hukuman yang paling sesuai dikenakan sekiranya penyokong sesebuah kelab itu tidak serik melakukan kesalahan sama termasuk membakar suar.
Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, hukuman itu mampu mendidik penyokong selain memberikan pengajaran kepada kelab supaya lebih bertanggungjawab dengan tindak tanduk penyokong mereka.
Menurutnya, kelab perlu bertindak tegas mendisiplinkan penyokong terlibat terutamanya apabila kesalahan tersebut dilakukan secara berulang walaupun telah dikenakan hukuman sebelum itu.
“Ini adalah kesalahan berulang dan hukuman juga perlu dikenakan ke atas penyokong terlibat dan bukan semata-mata kelab. Bagi saya, hukuman paling patut adalah mereka bermain di stadium kosong untuk beri pengajaran kepada penyokong.
“Apabila bermain dalam stadium kosong, penyokong tidak dapat hadir untuk menonton perlawanan. Kedua, kelab akan rugi dari segi kutipan tiket, ini menyebabkan penyokong rugi dan kelab juga rugi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan segelintir penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) yang membakar suar selepas tamat aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Insiden tersebut berlaku hanya beberapa hari selepas FAM mengenakan hukuman denda ke atas JDT susulan tiga insiden pembakaran suar yang dilakukan sebelum itu.
Namun, denda RM120,000 yang perlu dibayar JDT bagaikan tidak memberikan pengajaran kepada segelintir penyokong kelab itu yang sekali lagi bertindak membakar suar di dalam stadium.
Mengulas lanjut, Redzuan berharap situasi yang berlaku itu tidak merebak kepada penyokong kelab lain sehingga mampu mengundang masalah lebih buruk.
“Hanya kerana segelintir pihak, rosak imej baik penyokong JDT yang lain. Saya yakin apabila hukuman bermain di stadium kosong, ia akan memberikan kesan kepada penyokong yang lain.
“Apabila segelintir penyokong itu nak bakar suar lagi selepas ini, penyokong lain akan marah dan mungkin mereka akan boleh menghalang perbuatan itu berlaku.
“Dalam masa sama, pihak kelab perlu memainkan peranan mendisiplinkan penyokong dan memastikan barang terlarang termasuk bunga api atau mercun tidak dibawa masuk ke stadium,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!