Feri ikonik Pulau Pinang tetap jadi ingatan
PASTI ramai merasa teruja ingin menaiki feri baharu khususnya mereka yang berulang-alik di antara Pulau Pinang dan Seberang Perai.
Malahan para pelancong tempatan dan luar negara turut tidak sabar untuk merasai kelainan perkhidmatan yang akan ditawarkan pada feri baharu itu.
Menurut laporan feri baharu itu akan beroperasi dalam tempoh terdekat iaitu pertengahan Julai, namun ada yang mengatakan akan beroperasi sepenuhnya pada awal Ogos.
Apa pun perkembangan terkini mengenai feri baharu itu, pastinya kita tidak dapat lari daripada mengimbas kembali feri ikonik yang telah berkhidmat kepada penduduk dan ekonomi setempat selama 126 tahun.
Pastinya kita akan membuat perbandingan, ini kerana reka bentuk feri lama lebih terbuka membolehkan penumpang menikmati bayu laut ketika berada di tengah-tengah laut menyeberang sama ada ke Pulau Pinang atau ke Butterworth.
Semasa di atas feri, penumpang boleh keluar dari kenderaan untuk bergambar di pintu masuk hadapan feri berkenaan bersama rakan atau ahli keluarga.
Bunyi deruman enjin dan hon feri yang kuat serta bau minyak diesel sesuatu yang tidak dapat dilupakan dan pasti dirindui oleh Merak Jalanan.
Peredaran masa mengubah segala-galanya dan generasi baharu tidak akan merasai pengalaman yang dilalui penumpang terdahulu.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pernah berkata, operasi feri ikonik tidak dikembalikan segera kerana ia perlu menghadapi banyak cabaran, antaranya isu pengubahsuaian terminal feri.
Kata-kata itu ibarat memberi semangat kepada Merak Jalanan untuk melihat feri ikonik kembali gagah merentas Selat Pulau Pinang.
Pastinya sejarah akan berulang kembali, cuma masa yang menentukan segala-galanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!