Kempen 3R boleh hancur, musnahkan negara
MENJELANG pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini, isu 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja) menjadi perkara yang amat ditekankan pihak berkuasa dan kerajaan.
Mana tidaknya, dengan bahang pilihan raya yang semakin hari semakin panas, segelintir ahli politik nampaknya saling tuding menuding antara satu sama lain, mendakwa parti lawan sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan yang menyentuh 3R.
Sebenarnya, ramai rakyat Malaysia yang bosan dengan sikap pemimpin politik membangkitkan isu sensitif sebegitu dan amat berharap pihak berkuasa bertindak setegas-tegasnya agar isu 3R tidak terus dijaja sehingga menjejaskan keharmonian penduduk di dalam negara ini.
Tindakan tegas perlu dilakukan sebagai peringatan kepada ahli-ahli politik agar lebih bertanggungjawab dalam setiap perkataan diucapkan, selain rakyat sendiri dapat menilai sejauh mana ketegasan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap sebarang percubaan mengganggu gugat negara melalui tiga teras utama itu.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil baru-baru ini apabila beliau memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menyebarkan sentimen 3R.
Bukan sekadar memantau isu berkenaan berdasarkan perkataan atau perbuatan ahli-ahli politik, malah penulisan pengguna media sosial juga perlu diberi perhatian.
Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Norwandy Mat Noordin dalam kenyataan di sebuah portal baru-baru ini berkata, memainkan isu 3R semasa berkempen bukan sahaja boleh mencetuskan pertelingkahan, malah bertentangan dengan matlamat asal berpolitik iaitu memperjuangkan hak rakyat.
Lebih berbahaya, ia juga dikhuatiri boleh mewujudkan sentimen kebencian melampau antara kaum yang jika tidak diuruskan dengan baik akan meruntuhkan perpaduan dan membawa perpecahan.
Oleh demikian, dengan pengorbanan dilakukan oleh orang terdahulu bagi memastikan generasi akan datang menikmati kehidupan lebih baik, janganlah kita sesekali meruntuhkannya.
Berhubung isu 3R juga, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain awal-awal lagi memberi peringatan tegas berhubung perkara itu, sebelum tarikh PRN diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beberapa hari lalu, Razarudin sekali lagi mengulangi perkara sama untuk bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja terlibat, malah beliau sendiri rela disiasat jika isu menyentuh 3R terkeluar daripada mulutnya.
“Sama ada saya sendiri, kalau saya ada sebut berkaitan isu berkenaan, saya juga sedia disiasat,” tegasnya dalam memastikan suasana sepanjang PRN berjalan lancar.
Ujar Razarudin, kesemua parti bertanding perlu mematuhi undang-undang pilihan raya, antaranya Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Hasutan 1948.
Walaupun peringatan demi peringatan dikeluarkan pihak berkuasa, mungkin ada ahli-ahli politik yang terlalu ghairah berucap sehingga terlupa mengeluarkan kenyataan menyentuh 3R.
Setakat ini, dua pemimpin tertinggi parti telah disiasat polis di bawah Akta Hasutan 1948 kerana disyaki menyentuh isu 3R iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Abdul Hadi disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Kawalan dan Multimedia 1998, manakala Guan Eng disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kedua-dua pemimpin berkenaan. Jangan pula kita timbulkan sebarang spekulasi.
Namun, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya janganlah terikut-ikut dengan trend segelintir ahli politik, sebaliknya jagalah percakapan dan perbuatan kita agar tidak menyentuh isu-isu sensitif.
Bagi ahli-ahli politik, janganlah pula menghangatkan suasana di dalam negara dengan isu-isu sensitif, sebaliknya keluarlah kenyataan dengan berhemah dan matang.
Sebagai bakal pemimpin sama ada pemerintah atau pembangkang, kedua-dua pihak perlu menunjukkan contoh yang baik.
Gunakanlah platform kempen pilihan raya nanti untuk membina keyakinan para pemilih mengundi parti masing-masing dengan agenda untuk membawa perubahan lebih baik untuk rakyat dan negeri pada masa akan datang.
* Wan Saidatul Fadzilah Wan Najemudin ialah Editor Pengisian Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!