Tular mahu kayuh basikal roda tiga ke Putrajaya
BATU PAHAT - Seorang bapa nekad mahu mengayuh basikal roda tiga dari Parit Sulong ke Putrajaya dengan membawa dua anak berusia empat dan enam tahun.
Bagaimanapun, hasrat Muhammad Hafiz Onn, 34, yang mahu bertemu Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan dua anaknya itu, terpaksa dibatalkan.
Ia selepas Muhammad Hafiz mendapat nasihat daripada pihak polis agar tidak berkayuh (berbasikal) ke Putrajaya atas faktor keselamatan dirinya dan juga anak-anaknya itu.
Ujarnya, usaha mengayuh roda tiga merupakan ikhtiar bagi mendapatkan status kewarganegaraan dua anak lelakinya demi masa depan mereka yang akan bersekolah.
Muhammad Hafiz memberitahu dia berkahwin dengan isterinya, Ina Abirin, 26 yang juga anak pelarian dari Filipina yang menetap di Sabah lebih 40 tahun sekitar Januari 2014.
Jelasnya, semasa berkenalan dengan Ina, dia mendapat tahu bahawa isterinya merupakan anak pelarian yang memegang kad dokumen warga asing Filipina atau IMM13 yang dikeluarkan Imigresen Sabah.
"Setelah berkenalan, saya ingin memperisterikan dia (Ina) dan ibu bapanya setuju sebelum kami berkahwin secara 'nikah kampung'.
"Setelah berkahwin, saya berulang-alik ke Sabah untuk menguruskan dokumen isterinya namun menemui jalan buntu sebelum membuat keputusan membawa isterinya itu pulang ke Semenanjung Malaysia," katanya.
Meskipun, pelbagai usaha dilakukannya termasuk turun naik ke Jabatan Imigresen serta meminta bantuan daripada pemimpin tempatan, namun usaha itu tidak membuahkan hasil selain terpaksa berdepan dengan kekangan kewangan.
Dia kini tinggal bersama isteri dan dua anaknya di rumah pusaka arwah bapanya bersama dengan ibunya yang kini berusia 84 tahun di Kampung Mohd Noor, Parit Sulong.
"Anak saya kini ada surat beranak tetapi status kewarganegaraan adalah bukan warganegara. Oleh itu, saya memohon dan merayu agar pihak kerajaan membantu saya dalam hal ini.
"Kalau boleh nak isteri saya dapat status penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan dua anak saya dapat dipertimbangkan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, pihaknya akan berusaha menyelesaikan isu keluarga berkenaan setelah kedua-dua anak mereka tidak mendapat status kewarganegaraan.
“Saya faham situasi yang dihadapi oleh Muhammad Hafiz ini, mungkin dia agak tertekan setelah anaknya yang berusia empat dan enam tahun itu berhadapan dengan masalah apabila untuk mendaftar persekolahan serta ketika mendapat rawatan di hospital kerajaan.
"Saya turut difahamkan oleh pihak polis yang dia juga telah dinasihatkan supaya tidak berkayuh (berbasikal) ke Putrajaya atas faktor keselamatan terhadap dirinya dan juga anak-anaknya itu serta boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!