Tunggakan cukai LHDN: Cari kaedah terbaik bantu waris

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Mohd Fazrul Izwan, Ikhwan, Nurul Syafikha
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Mohd Fazrul Izwan, Ikhwan, Nurul Syafikha
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan kaedah seperti perlindungan insurans untuk membantu waris sekiranya si mati meninggalkan beban hutang terutama cukai pendapatan.

Eksekutif perbankan, Nurul Syafikha Mohamad, 37, berpandangan, kaedah seperti Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) yang digunakan pada pinjaman rumah mungkin boleh diaplikasikan kepada pembayar cukai pendapatan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Sekiranya si mati meninggalkan hutang, waris wajib langsaikan sebelum difaraid tetapi sekiranya boleh dipertimbangkan insurans seperti itu (MRTT), maknanya hutang itu dilindungi oleh insurans.

"Bermaksud apabila berlaku kematian, hutang berkaitan institusi kewangan atau kerajaan secara automatik terbatal. Namun sekiranya si mati seorang yang jutawan, kaedah lain mungkin boleh diperhalusi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, fatwa sama ada waris perlu membayar tunggakan cukai pendapatan atau sebaliknya bagi umat Islam yang sudah meninggal dunia akan diketahui selewat-lewatnya September ini.

Mengikut Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967, waris boleh dikenakan taksiran cukai seperti taksiran dikenakan ke atas si mati termasuk menguruskan sebarang tunggakan atau lebihan cukai si mati.

Berikutan itu terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan mufti berkaitan isu berkenaan dan ia perlu dirujuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Sementara itu eksekutif kewangan, Ikhwan Abdullah, 38, berkata, walaupun waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati termasuk pengurusan cukai pendapatan, namun perkara itu perlu dilihat secara holistik agar ahli keluarga tidak berterusan dibebani 'kesalahan' orang lain.

"Katakanlah si mati adalah ketua keluarga yang meninggalkan isteri (merupakan) suri rumah dan tiga anak yang masih bersekolah, bagaimana nak langsaikan hutang suaminya sedangkan mereka sendiri terpaksa bersusah payah untuk meneruskan kehidupan.

"Begitu juga ahli keluarga si mati yang lain, mungkin sudah mempunyai kehidupan sendiri dan perlu menanggung keluarga.

"Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini dengan sewajarnya dan mungkin menetapkan pembayaran hanya kepada waris yang mampu," jelasnya.

Dalam pada itu seorang kru produksi, Mohd Fazrul Izwan Zainal Azeman, 37, berkata, pandangan ulama dan mufti mengenai pembayaran cukai si mati perlu diberi perhatian terutama hal melibatkan hukum syarak.

"Dalam Islam kita tahu setiap hutang wajib dibayar tetapi sekiranya ia melibatkan hutang orang lain, maka ia memerlukan pertimbangan sewajarnya dengan melihat kemampuan kewangan waris si mati untuk bayar melainkan mereka (waris) berkemampuan.

"Kalau duit diambil daripada harta peninggalan sebelum faraid (si mati), boleh diambil kira (bayaran) tetapi kena lihat juga waris mampu atau tidak untuk menyara kehidupan dengan harta yang ditinggalkan (selepas faraid)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!