26,506 saman dikeluarkan polis KL sejak 3 Julai

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 26,506 saman melibatkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Ops Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur sejak 3 Julai hingga Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zaid berkata, daripada jumlah itu, halangan lalu lintas mencatatkan kesalahan tertinggi sebanyak 18,931.

"Kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki (1,931), tiada lesen memandu warga tempatan (1,280) melanggar lampu isyarat merah (478), nombor plat 'fancy' (299) berhenti di petak kuning (216) dan kesalahan lain (3,217), katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, operasi itu melibatkan 800 anggota dan pegawai Polis Kuala Lumpur.

"Sepanjang tempoh penguatkuasaan undang-undang, kita telah menahan seramai 86 orang atas pelbagai kesalahan jenayah dan trafik.

"Kita turut menyita 99 kenderaan, di mana 96 daripadanya adalah motosikal, dua kereta dan sebuah lori," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada masyarakat berkaitan Ops Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur.

"Kita akan perbaiki operasi tersebut dari semasa ke semasa, saya akan mencari kaedah bersama warga Kuala Lumpur untuk mengubah sikap pengguna jalan raya agar lebih tanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu yang melakukan kesalahan jalan raya.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan tidak mengabaikan tanda lalu lintas demi keselamatan semua pihaknya," katanya.

Pada 27 Jun lalu, media melaporkan Polis Kuala Lumpur melaksanakan Ops Hormat Undang-Undang Jalan Raya di ibu kota pada bulan ini.

Mohd Shuhaily dilaporkan berkata, objektif operasi bersepadu itu adalah pihak berkuasa mahu mendisiplinkan pengguna jalan raya.

Mohd Shuhaily berkata, konsep operasi yang lebih tegas dan tersusun untuk menghalang pelbagai jenis pelanggaran trafik yang telah dilakukan oleh pengguna jalan raya.

Antara tujuh operasi yang dilaksanakan adalah operasi parkir haram, halangan, lampu merah (berhenti melebihi garisan putih/ berhenti atas lintasan pejalan kaki.

Polis Kuala Lumpur melaksanakan operasi terhadap nombor plat pendaftaran kenderaan, cermin gelap, motosikal dan Op Didik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!