KRPPM-IGAR bertemu Wan Junaidi bincang reformasi institusi

Pertemuan antara wakil pakar dan masyarakat sivil KRPPM-IGAR bersama Wan Junaidi di Parlimen, bagi membincangkan pendekatan untuk memastikan reformasi institusi dapat dilaksanakan segera.
Pertemuan antara wakil pakar dan masyarakat sivil KRPPM-IGAR bersama Wan Junaidi di Parlimen, bagi membincangkan pendekatan untuk memastikan reformasi institusi dapat dilaksanakan segera.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) mengadakan pertemuan bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen, bagi membincangkan pelbagai pendekatan dalam memastikan reformasi institusi dapat dilaksanakan segera di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, perbincangan berlangsung dengan baik ke arah memperkukuhkan lagi institusi negara ini termasuk badan kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta memastikan badan-badan tersebut tidak dipengaruhi oleh kuasa eksekutif.

"Interaksi dua hala ini memperhalusi mekanisme dan kaedah-kaedah bagi memastikan keberkesanan dalam mereformasi legislatif, bagi saya ini amat penting untuk prinsip keadilan dilaksanakan dengan telus," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya lagi, keterbukaan yang diamalkan oleh Parlimen bersama masyarakat sivil ini mewujudkan ruang semak dan imbang berterusan dalam merealisasikan mandat rakyat yang berjuang agar pembanterasan rasuah terus diangkat sebagai agenda utama untuk memulihkan negara.

"Kita akan terus berusaha bersama-sama memastikan negara kita menuju ke arah yang lebih baik, institusi segera direformasi dan insya-ALLAH jika kita saling terbuka untuk berbincang tentang perkara yang baik, negara akan menerima manfaatnya nanti," katanya lagi.

Sebelum ini KRPPM-IGAR menyasarkan empat cadangan reformasi institusi dan perundangan akan segera dilaksanakan dalam penggal Parlimen ini.

Empat cadangan itu iaitu Pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya, Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Penggubalan Akta Pendanaan Politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!