'Sebab Pas guna agama dalam politik' - Sanusi

Muhammad Sanusi ketika siaran podcast Keluar Sekejap pada Selasa.
Muhammad Sanusi ketika siaran podcast Keluar Sekejap pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Fahaman politik yang diperjuangkan oleh Pas tidak boleh dibandingkan dengan parti lain kerana mempunyai pemahaman berbeza.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, Pas berada pada satu tahap yang lain kerana tidak hanya menguruskan kehidupan dunia malah akhirat.

Katanya, jika mahu bandingkan fahaman politik bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan ia tidak mencapai matlamat sama.

“Sekiranya mahu mengadili Pas daripada pemikiran politik kontemporari, parti ini (Pas) telah keluar kerana ia melangkaui dunia.

“Pas ini selain daripada politik, ia juga merupakan parti tarbiyah yang mendidik orang ramai selagi mana mereka tidak memahami makna sebenar politik Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ yang mendakwa menjelangnya pilihan raya negeri (PRN), Pas hanya memainkan isu agama berbanding ekonomi, ringgit dan bursa menerusi siaran podcast Keluar Sekejap, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi memaklumkan, perkara yang dibawa oleh Pas adalah persediaan orang Islam selepas kematian.

“Di kubur dan Padang Mahsyar akan ada timbangan dan soalan yang diajukan. Kalau bergantung kepada hak dunia seperti ringgit dan kos sara hidup, itu semua akan berakhir apabila mati.

“Semua tindakan dalam politik ini (Pas) akan ditanya dalam kubur mengenai tuhan, nabi dan ikutan,” ujarnya.

Tegas Muhammad Sanusi, Pas sama sekali berbeza dengan politik lain kerana ia menguruskan kehidupan dunia dan akhirat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!