Djokovic mula dabik dada
BINTANG tenis sensasi, Novak Djokovic boleh mendabik dada apabila dilihat berpeluang untuk merangkul kejuaraan Wimbledon setelah menempah slot separuh awal pagi Rabu.
Beliau menganggap dirinya sebagai pemain pilihan untuk mengungguli kejohanan berprestij tersebut, biarpun dilihat kenyataan itu seakan 'sombong'.
Pemain Serbia itu mara ke separuh akhir Wimbledon kali ke-12 dan menyamai rekod ke-46 di Grand Slam selepas menewaskan Andrey Rublev dari Rusia dengan empat set.
Djokovic yang mencecah usia 36 tahun bangkit menerusi kemenangan 4-6, 6-1, 6-4, 6-3 dan akan berdepan pemain Itali, Jannik Sinner untuk memburu tempat ke final.
Menerusi kemenangan itu menjadikan dia pemain paling banyak mara ke separuh akhir Grand Slam selain Roger Federer yang sudah menggantung raket.
“Tak mahu tampak sombong tetapi sudah tentu saya anggap saya pemain pilihan,” katanya.
Djokovic dalam misi memburu gelaran kelapan di Kelab All England dan gelaran utama ke-24.
“Berdasarkan keputusan dalam karier saya di sini, empat yang terakhir di Wimbledon saya menang. Jadi saya anggap saya pilihan juara,” katanya.
Djokovic yang beraksi dalam saingan Grand Slam buat kali ke-400 awal pagi Rabu meluahkan keseronokan menjadi pemain yang perlu ditewaskan.
“Saya sukakannya. Setiap pemain mahu berada di posisi di mana mereka mahu menewaskan anda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!