75 peratus remaja tonton video, gambar lucah - Kajian UKM

Kajian dijalankan pada 2021 itu menunjukkan kebanyakannya adalah remaja lelaki yang terjebak semasa menuntut di sekolah menengah dan kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Noor Azimah)
Kajian dijalankan pada 2021 itu menunjukkan kebanyakannya adalah remaja lelaki yang terjebak semasa menuntut di sekolah menengah dan kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Noor Azimah)
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 75 peratus remaja terutamanya lelaki pernah menonton video lucah atau melihat gambar lucah.

Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan UKM, Profesor Madya Dr Noor Azimah Muhammad berkata, kajian dijalankan pada 2021 itu menunjukkan kebanyakannya adalah remaja lelaki yang terjebak semasa menuntut di sekolah menengah dan kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian.

Menurutnya, penggunaan internet dan media sosial masa kini memudahkan remaja untuk mendapatkan video atau gambar pornografi tanpa dikesan ibu bapa.

Ujar beliau, perbuatan tidak bermoral itu disokong dengan adanya kemudahan WiFi sama ada di dalam rumah sendiri atau sesetengah premis yang mana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri.

“Terdapat kes seorang pelajar lelaki mengakui menonton lebih 200 video pornografi sehari semata-mata untuk memuaskan keinginan seksualnya hingga terdedah kepada masturbasi dan akhirnya mengamalkan aktiviti seks bebas semasa menuntut di kolej.

“Perbuatan menonton pornografi ini menyebabkan sebahagiannya mengalami ketagihan yang boleh menyebabkan mereka berisiko melakukan seks bebas dan mengalami jangkitan penyakit kelamin seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) atau sifilis.

“Dalam satu kajian lain yang dijalankan pada 2013 terhadap 988 pelajar kolej, data menunjukkan 10 peratus daripada mereka pernah mengadakan aktiviti seksual manakala lima peratus pula sangat aktif melakukannya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu, aktiviti seksual yang dilakukan remaja adalah berisiko tinggi yang mana mereka cenderung bertukar-tukar pasangan, mengamalkan kegiatan homoseksual dan biseksual, tidak menggunakan kondom atau pencegah kehamilan serta di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Tambahnya, dapatan yang hampir sama dilihat dalam Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2017 iaitu 7.3 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah melakukan seks seawal usia kurang dari 14 tahun dan lima peratus aktif melakukannya.

“Hampir kesemua mereka mengamalkan seks tidak selamat, tanpa kondom atau pencegah kehamilan dan 40 peratus dari kes HIV baharu adalah melibatkan remaja,” kata Dr Noor Azimah.

Tegasnya, perkara itu berlaku kerana tiada pemantauan daripada ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan tiada di rumah.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, ibu bapa wajib memainkan peranan utama dalam melindungi remaja daripada terlibat dengan aktiviti seksual berisiko sebelum berkahwin.

“Perkara pertama yang ibu bapa perlu lakukan adalah memberikan pendidikan seksual kepada anak mereka di rumah.

“Antara topik yang perlu dijelaskan adalah apa itu seks, seks berisiko, komplikasi seks bebas, jangkitan penyakit kelamin dan kehamilan tanpa dirancang,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, perasaan malu yang wujud dalam diri ibu bapa dan anak-anak menjadi faktor utama komunikasi mengenai seksual remaja dalam sebuah institusi kekeluargaan gagal.

Ujarnya, istilah seks sering kali dianggap tabu dan lucah menyebabkan mereka menghadapi kesukaran menggunakan istilah tersebut apabila berbicara mengenainya dengan anak-anak.

“Sebagai ganti, ibu bapa akan menggunakan istilah hubungan kelamin, namun begitu, remaja mungkin keliru definisi kedua-dua istilah ini,” katanya.

Dr Noor Azimah berpandangan, peranan tersebut perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab contohnya mencari informasi berkenaan pendidikan seksual remaja atau tambah ilmu melalui pembacaan dan majlis ilmu.

Tambahnya, maklumat tersebut dapat membantu guru di sekolah kerana tiada orang lain yang boleh melakukannya melainkan ibu bapa sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!