Perbelanjaan isi rumah Malaysia diunjur tumbuh 5.0 peratus tahun ini
ASPEK perbelanjaan isi rumah Malaysia dijangka tumbuh sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun pada 2023 dan terus mengukuh menjelang 2024, kata BMI yang juga sebuah syarikat Fitch Solutions.
Prestasi tersebut didorong oleh pemulihan ekonomi yang dipacu oleh pertumbuhan perbelanjaan sebenar pengguna yang lebih kukuh.
Dalam laporan penyelidikannya pada Rabu, BMI berkata, usaha meredakan tekanan inflasi dan pengurangan pengangguran secara sihat akan turut menjadi asas bagi unjuran perbelanjaan pengguna yang lebih stabil.
"(Namun), risiko kepada prospek ini adalah ia meningkatkan inflasi daripada jangkaan awal serta membawa kelemahan ekonomi lebih ketara yang memberi kesan terhadap kuasa beli isi rumah," katanya.
Menurutnya, perbelanjaan sebenar isi rumah bagi tempoh pasca 2024 akan tumbuh 5.0 peratus tahun ke tahun pada tahun ini kepada RM910 bilion berdasarkan harga 2010.
Malah, kata BMI, tahap keyakinan pengguna juga secara amnya stabil yang memaparkan persepsi pengguna lebih positif walaupun terdapat tekanan inflasi bagi komoditi tertentu seperti makanan dan bahan api yang memberi kesan kepada isu rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Menyentuh prestasi ringgit, BMI menjangkakan mata wang tempatan itu akan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat, daripada 4.50 tahun ini kepada 4.40 pada 2024.
"Malaysia akan terus bergantung kepada import dalam menampung permintaan tempatan yang memberi kesan lebih besar kepada pertumbuhan perbelanjaan pengguna apabila import lebih murah.
"Kami yakin persekitaran sedemikian akan menjadikan perbelanjaan pengguna bagi separuh kedua 2023 dan awal 2024 kekal stabil," katanya.
Dalam pada itu, BMI juga mengunjurkan bahawa tekanan inflasi kekal tinggi di kebanyakan pasaran lain dengan kadar perubahan harga yang biarpun lemah namun kekal tinggi daripada sasaran bank-bank pusat.
"Jika dibandingkan dengan pasaran lain, inflasi di Malaysia agak terkawal iaitu mencecah kemuncak 4.7 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2022 manakala data terkini bagi Mei 2023 di paras 2.8 peratus tahun ke tahun -- angka terendah sejak Mei 2022 walaupun ini lebih tinggi daripada kebiasaan isi rumah Malaysia.
"Pihak kami mengunjurkan aliran inflasi ini akan lebih menurun pada separuh kedua 2023 dengan mengakhiri tahun itu pada tahap 2.5 peratus serta mencecah purata 2.3 peratus pasca 2024,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!