Sentimen 3R undang perpecahan masyarakat
SHAH ALAM - Sentimen bangsa, agama dan institusi diraja (3R) yang sengaja dimainkan sesetengah pemimpin parti politik boleh mengganggu-gugat dan memecahbelahkan masyarakat di negara ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rodziah Ismail berkata, perkara itu jika tidak terus dibendung dikhuatiri menjejaskan keharmonian dan keamanan dalam negara.
"Rakyat Malaysia sebenarnya telah pun berikrar dengan Rukun Negara bahawa semua disebutkan itu adalah nilai yang perlu kita tanamkan (dalam diri).
"Maksudnya (kita) tidak membangkitkan tentang isu kaum bahawa orang ini (penganut) agama apa dan sebagainya," katanya dalam satu video di TikTok pada Rabu.
Rodziah menjelaskan, sebagai rakyat sudah tentu perkara paling penting ingin dilihat adalah sebuah kerajaan yang dapat menyediakan suasana aman dan damai tanpa pertelagahan antara kaum dan agama.
Sehubungan itu, Rodziah memberitahu, rakyat seharusnya menolak pihak yang memainkan isu 3R pada pilihan raya negeri (PRN).
"(Sebagai rakyat) bukan kita hendak memilih siapa kaum lebih baik daripada kaum lain atau kononnya memperjuangkan agama lebih kepada yang lain.
"Saya cakap ini sebagai orang Islam, tetapi dalam konteks pengundi memilih, kita kena memastikan parti mana boleh memerintah dan mengurus tadbir jauh lebih baik daripada sebelum ini.
"(Di) Selangor, kita kekalkan di bawah PH dan Perpaduan dan Insya-ALLAH kita telah buktikan pengurusan dan pentadbiran yang harmoni sehingga hari ini," kata beliau.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, kerajaan memberi amaran terakhir pada mana-mana pihak yang memainkan sentimen isu 3R sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu mengatasi kepentingan mana-mana pihak dan melibatkan soal keselamatan negara.
ARTIKEL BERKAITAN:Isu 3R: 'Ini amaran terakhir daripada kerajaan' - PM
Kempen 3R boleh hancur, musnahkan negara
Salahuddin nasihat elak keluar kenyataan sentuh 3R
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!