Bersatu tentukan calon di DUN Kijal - Pengarah Pilihan Raya Pas

Ariffin Deraman
Ariffin Deraman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas menyerahkan kepada kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu bagi menentukan calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, setakat ini keputusan bagi calon mana yang akan bertanding di kerusi itu belum dimuktamadkan.

"Kita serahkan kepada Bersatu untuk menentukan siapa calon di DUN Kijal dan tidak pasti lagi sama ada Razali (Datuk Razali Idris) diangkat sebagai calon. Mungkin berita tersebar itu sekadar khabar angin.

"Kalau Bersatu cadang Razali bertanding di Kijal maka dia akan bertanding di sana. Kita belum putuskan lagi. Tunggu hari penamaan calon nanti siapa akan bertanding," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Rabu.

Ariffin berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus kononnya nama Pengerusi Bersatu Terengganu itu dipilih untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN berkenaan.

Ia berikutan penularan poster di laman sosial pada Rabu yang memaparkan wajah Razali beserta keterangan mengatakan pemimpin Bersatu itu bakal menjadi calon di kawasan itu.

Bagaimanapun, Ariffin berkata, Razali adalah calon terbaik untuk melawan penyandang DUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said pada PRN yang diadakan tidak lama lagi.

"Razali memang calon terbaik kalau terpilih sebab dia Pengerusi Bersatu negeri lawan Ahmad Said yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.

"Jika Razali dicalonkan di kawasan itu memang calon terbaik nak lawan Ahmad Said tapi tak pasti lagi sama ada dia (Razali) akan bertanding," ulasnya.

Ariffin menambah, pengaruh dan sokongan kepada Ahmad semakin berkurang memandangkan bekas Menteri Besar Terengganu itu tewas di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

"Ahmad Said kalah pada PRU15 lepas, maknanya Razali boleh lawan dia kat sana (kubu kuat Ahmad Said)," ujarnya.

Dalam pada itu, Ariffin menjelaskan tidak menjadi masalah sekiranya Bersatu meletakkan calon di DUN berkenaan.

"Calon Bersatu nak bertanding kena bertanding atas tiket Pas. Tak ada isu Pas tak letak calon. Walaupun dia ahli Bersatu, bertanding guna nama dan logo Pas," ujarnya.

Pada PRU14, Ahmad yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 1,265 undi menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh yang memperoleh 8,280 undi dan calon Pakatan Harapan, (PH) Wan Marzuki Wan Sembok (1,472 undi).

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu kekal menang selama empat penggal berturut-turut di DUN Kijal menjadikan beliau sebagai calon yang sukar ditandingi di kerusi bawah Parlimen Kemaman itu.

Bagaimanapun, pada PRU15 lalu, Ahmad yang dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tewas kepada calon Pas, Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi menerusi pertembungan empat penjuru.

Che Alias yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu memperoleh 65,714 undi manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!