Indeks Pengeluaran Perindustrian Mei 2023 pulih pada 4.7 peratus
PRESTASI Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pulih kepada 4.7 peratus pada Mei 2023 daripada -3.3 peratus dalam bulan sebelumnya, disokong oleh momentum positif dalam kesemua sektor, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam kenyataannya, jabatan itu berkata, pengembangan tersebut didorong oleh peningkatan terutamanya sektor pembuatan sebanyak 5.1 peratus (April 2023: -3.0 peratus); perlombongan 2.9 peratus (April 2023: -4.9 peratus) dan elektrik 5.0 peratus (April 2023: -2.0 peratus).
Berbanding April 2023, katanya, IPP mengukuh kepada 7.3 peratus selepas mencatat pertumbuhan negatif 10.8 peratus pada April 2023.
"Kenaikan sebanyak 5.1 peratus bagi sektor pembuatan pada Mei 2023 itu dipacu oleh pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 10.1 peratus dalam industri berorientasikan domestik (April 2023: -2.1 peratus) yang disokong oleh pembuatan kenderaan bermotor, trailer dan separa trailer (16.4 peratus) dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali jentera dan peralatan (11.9 peratus),” katanya.
Selain itu, industri berorientasikan eksport meningkat sebanyak 2.8 peratus berbanding April 2023sebanyak -3.5peratus, didorong oleh kenaikan pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan (13.0 peratus) dan pembuatan kok dan petroleum bertapis (5.9 peratus).
Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan mencatat pertumbuhan positif 7.0 peratus berbanding negatif 11.4 peratus pada April 2023.
Menurutnya, peningkatan pengeluaran dalam sektor perlombongan kepada 2.9 peratus pada Mei 2023 pula dipacu oleh kenaikan dalam kedua-dua indeks minyak mentah dan kondensat serta gas asli masing-masing sebanyak 0.6 peratus dan 4.5 peratus.
"Berbanding bulan sebelumnya, indeks perlombongan berkembang sebanyak 7.6 peratus berbanding penyusutan 10.7 peratus pada April 2023,” katanya.
Jabatan Perangkaan berkata, pada masa sama, output elektrik menokok 5.0 peratus pada Mei 2023 selepas negatif 2.0 peratus pada April 2023.
Malah, bagi perbandingan bulan sebelumnya, indeks elektrik tumbuh kukuh sebanyak 10.1 peratus (April 2023: -4.8 peratus).
Bagi tempoh lima bulan pertama 2023, IPP menyederhana kepada 2.0 peratus berbanding tempoh sama pada 2022 (Januari - Mei 2022: 4.1 peratus).
"Dalam tempoh tersebut, sektor pembuatan berkembang 2.4 peratus manakala sektor perlombongan dan elektrik masing-masing meningkat sedikit kepada 0.9 peratus dan 0.1 peratus,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!