Penduduk Alam Sari 'menderita' hadapi kesesakan setiap hari
KAJANG - Penduduk Alam Sari di sini berdepan masalah kesesakan teruk pada waktu puncak ekoran pertambahan trafik sehingga 20,000 kenderaan setiap hari sejak laluan Serene Height-Alam Sari dibuka, setahun lalu.
Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Alam Sari, Datuk Fadzilah Mohd Salleh berkata, pembukaan jalan tersebut telah menyebabkan kebanjiran kenderaan dari kawasan Semenyih yang menggunakan laluan tersebut sebagai jalan pintas untuk ke Bandar Baru Bangi dan Kajang.
Menurutnya, penduduk Alam Sari terpaksa menempuh kesesakan selama hampir 40 minit untuk keluar dari Alam Sari ke Jalan Reko pada waktu puncak (6.30 pagi - 8.30 pagi dan 5.30 petang -7.30 petang) walaupun jaraknya sekitar 2.5 kilometer sahaja.
"Dua titik utama kesesakan ialah di persimpangan lampu isyarat German-Malaysia Institute (GMI) dan di persimpangan terowong di Kampung Sungai Tangkas berhampiran Stesen Komuter UKM.
"Lanjutan daripada itu, pihak persatuan telah mengadakan pertemuan dengan pihak MPKj (Majlis Perbandaran Kajang) pada 8 Disember tahun lepas yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi, Ahli Majlis MPKJ dan wakil pemaju untuk mencari penyelesaian," katanya pada sidang akhbar berkenaan perkara itu pada Rabu.
Kongsi beliau, dalam pertemuan tersebut, kesemua pihak bersetuju penyelesaian kepada masalah ini dengan membina jalan alternatif keluar masuk ke Alam Sari dari Jalan Reko yang akan bersambung dengan jambatan GMI.
"Bagaimanapun MPKj memaklumkan jalan tersebut tidak dapat dilaksanakan pada masa ini kerana lokasi yang dicadangkan berdekatan susur projek Lebuh raya Putrajaya-Bangi (PBE) dan harus diselaraskan dengan pelan pembinaan lebuh raya tersebut.
"Kami juga telah kemukakan beberapa cadangan jangka pendek bagi menyelesaikan isu kesesakan antaranya melebarkan jalan dan menambah lorong di persimpangan lampu isyarat GMI serta terowong Stesen Komuter KTM," katanya.
Ujarnya, pihaknya telah menghantar surat dan e-mel kepada Jabatan Kejuruteraan MPKj selepas pertemuan tersebut bagi mendapatkan status terkini tindakan yang telah dilaksanakan, namun sehingga kini tidak menerima maklum balas.
"Sikap tidak profesional sebegini amat mengecewakan kami malah janji MPKj untuk mengadakan satu pertemuan selepas Aidilfitri lalu bersama wakil penduduk, syarikat pemaju, jurutera perunding serta wakil rakyat bagi menjelaskan langkah yang ingin diambil untuk menyelesaikan isu ini juga tidak ditunaikan.
"MPKj banyak meluluskan pembangunan projek perumahan tetapi tidak mempunyai perancangan membaiki jalan keluar masuk untuk kemudahan penduduk," katanya.
Beliau menggesa MPKj melaksanakan langkah jangka pendek bagi mengurangkan masalah kesesakan di sana seperti melebarkan jalan, menambah lorong dan mengecat garisan jalan yang lebih jelas di persimpangan lampu isyarat persimpangan GMI dan terowong berhampiran Stesen Komuter UKM.
Pihaknya juga meminta MPKj untuk menggantung sebarang kelulusan atau kebenaran merancang terhadap sebarang pembinaan projek perumahan di dalam kawasan Alan Sari, Serene Height, Kampung Sungai Tangkas dan sekitar sehingga tindakan mengurangkan isu kesesakan dilakukan.
Selain itu katanya, pihaknya turut meminta pembukaan jalan dari Bangi Avenue ke Alam Sari tidak dilakukan bagi memburukkan lagi isu trafik di kawasan itu.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada MPKj berhubung isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!