Didenda RM15,000, miliki 2,800 liter diesel tanpa lesen

Nagarajan (tengah) bertemu peguamnya di luar mahkamah.
Nagarajan (tengah) bertemu peguamnya di luar mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemandu lori didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana memiliki 2,800 liter diesel dalam keadaan menimbulkan syak.

Hakim Mazni Nawi membuat keputusan itu selepas mengambil kira pengakuan bersalah E Nagarajan, 25, serta hujahan pihak pendakwaan dan rayuan pihak pembelaan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara dua bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut serta lori yang digunakan dalam kes itu dilucutkan hak kepada kerajaan dan hasil jualan dijadikan hasil kerajaan.

Sebelum itu Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Khairul Azman Rosli dalam hujahannya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh serta kenderaan digunakan dilucut hak kepada kerajaan.

Peguam, K Veni Paul yang mewakili Nagarajan pula memohon hukuman denda yang minimum kerana tertuduh perlu menanggung keluarga dan kos pengajian isteri di universiti.

"Ketika kejadian, tertuduh mahu mengisi minyak dan kandungnnya hanya 2,800 liter saja berbanding kes-kes lain.

"Dalam kes itu juga tertuduh tidak menikmati hasil minyak terbabit dan pengakuan salah dibuat tertuduh memudahkan proses mahkamah serta menjimatkan kos semua pihak," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki barang kawalan berjadual iaitu 2,800 liter diesel dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara runcit atau borong tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam lebih kurang 11.40 malam pada 17 April 2022 di sebuah stesen minyak di Jalan Pantai, Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen 22 ( 1 ) Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi satu juta RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua - duanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!