Bekas peguam 1MDB Jasmine Loo ditahan polis - Saifuddin
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas peguam syarikat pelaburan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan kini berada di dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jasmine dipercayai mempunyai maklumat berhubung kes 1MDB.
"Beliau telah ditahan pada Jumaat dan direman mulai Sabtu," katanya menerusi sidang akhbar di KDN pada Rabu.
Menurutnya, siasatan terhadap wanita dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
"PDRM tentunya mempunyai beberapa perkara yang perlu untuk disiasat dan peguam yang mewakili Jasmine telah menyatakan bahawa anak guam bersedia memberi kerjasama kepada PDRM dan kerajaan," ujar beliau.
Pada November 2021, pendakwa raya memfailkan notis usul melucut hak dua kereta iaitu Audi dan Volkswagen New Beetle, wang berjumlah RM22,600 serta sebuah kondominium di Mont Kiara di sini milik Jasmine.
Jasmine dikatakan seorang daripada sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB serta disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki selepas melarikan diri dan tidak diketahui keberadaannya.
Tahun lalu, Bloomberg melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta (RM3.3 bilion) yang didakwa dilakukan secara haram.
Menurut laporan itu, kedua-dua mereka sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah, salah laku pejabat awam, pengubahan wang haram dan kegiatan jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!