[VIDEO] Gajah liar ganggu Orang Asli dipindahkan
SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan seekor gajah liar selepas sebulan dilaporkan menganggu kediaman penduduk Orang Asli dan merosakkan kelengkapan sekolah di Pos Perwor di sini pada Rabu.
Gajah betina dianggarkan seberat dua tan itu dipercayai tersesat dari kumpulannya ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak, Ahad lalu.
Penolong Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Mohammad Abu Huzaifah Abu Samah berkata, operasi dilaksanakan selepas menerima enam aduan serius melibatkan kumpulan gajah ID Piah dari hutan simpan berhampiran.
"Operasi menjejaki gajah dilakukan sebaik menerima aduan daripada penduduk setempat yang melihat haiwan berkenaan di kawasan kediaman mereka.
"Kita telah berjaya menangkap gajah terbabit selepas mengesan kedudukannya untuk dipindahkan ke habitat asal," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurut beliau, gajah betina dianggarkan berusia 12 ke 15 tahun yang dipercayai salah seekor gajah dari ID Piah berkenaan.
"Khidmat dua gajah denak Suria dan Kala dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu digunakan untuk memujuk dan menarik gajah liar berkenaan sejauh kira-kira 300 meter ke atas lori.
"Selain Sungai Deka, operasi selama empat jam ini turut melibatkan kira-kira 30 anggota terdiri daripada UTG Perak, Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput dan PKGK Kuala Gandah, Lanchang, Pahang," katanya.
Mohammad Abu Huzaifah berkata, gajah liar berkenaan akan lepaskan ke habitat asal.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Takong, Ali Long berkata, penduduk berasa lega apabila tindakan pantas Perhilitan akhirnya menangkap gajah yang sering menganggu kampung.
"Gajah ini sering masuk ke kampung lain seperti Satut, Legap dan lain-lain sejak awal tahun ini. Kehadiran kumpulan ini telah memusnahkan rumah penduduk serta sekolah.
"Keadaan itu menyebabkan penduduk kampung berada dalam ketakutan hinggakan murid-murid takut pergi sekolah. Gajah ini sering datang waktu malam dan awal pagi," katanya.
Sinar Harian pada Jun lalu melaporkan bangunan dan beberapa kelengkapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Perwor dekat Lasah di sini mengalami kerosakan teruk selepas diserang sekumpulan gajah liar.
Serangan sekitar jam 2 pagi itu mengakibatkan kerosakan di bahagian tingkap kelas pra sekolah dengan jeriji besi bengkok dan cermin pecah.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, maklumat awal mengatakan terdapat enam ekor gajah memasuki kawasan sekolah berkenaan namun, serangan itu tidak melibatkan kecederaan orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!