Sifat sabar dipandang tinggi oleh ALLAH SWT

Bersabar bukan sahaja ketika ditimpa ujian tetapi juga, dalam setiap perkara yang dilakukan. -GAMBAR HIASAN.
Bersabar bukan sahaja ketika ditimpa ujian tetapi juga, dalam setiap perkara yang dilakukan. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

SEBAGAI hamba kepada Sang Pencipta, kita tidak lari daripada sebarang ujian.

Untuk menghadapinya, ia memerlukan kesabaran yang tinggi dalam diri.

Kenapa sifat sabar itu begitu ditekankan di dalam Islam?

Imam Ghazali menyebut dalam dalam kitabnya, Ihya' Ulumuddin bahawa terdapat lebih 74 perkataan sabar di dalam al-Quran!

Bayangkan, begitu banyaknya perkataan itu yang sudah pasti ada sebab kenapa ALLAH SWT mahukan hamba-Nya bersabar.

Sebenarnya, sifat sabar ini akan mendekatkan jiwa hamba-Nya kepada Yang Maha Esa.

Tidak mungkin seseorang itu bersabar melainkan dia teringatkan Tuhannya kerana sabar adalah penawar yang mendekatkan diri pada-Nya.

Kita bukan sahaja dituntut bersabar ketika menghadapi ujian sahaja, bahkan juga dalam memerangi hawa nafsu.

Artikel Berkaitan:

Di dalam kalam ALLAH, ada satu surah yang amat menekankan aspek sabar yang hasilnya membawa ke syurga.

Firman ALLAH SWT: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran." (Surah al-Asr: 1-3)

Kepada orang-orang yang bersabar, ALLAH SWT juga bakal mengurniakan kebaikan berterusan dengan pahala yang berpanjangan.

Ia sebagaimana firma ALLAH SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (Surah al-Zumar: 10)

Erti sabar sebenarnya tidak semudah seperti menyebutnya.

Sentuhannya perlu datang daripada hati yang reda.

Apapun, ingatlah sifat sabar ini begitu dipandang tinggi oleh ALLAH SWT.

Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang sabar.

(Sumber: Fatin Nor Izzati)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!