Lelaki dijel 15 bulan, satu sebatan jual delima 'sakti' tipu

Roni Pito, (tengah) ketika tiba di Mahkamah Jasin di sini, pada Rabu.
Roni Pito, (tengah) ketika tiba di Mahkamah Jasin di sini, pada Rabu.
A
A
A

JASIN - Seorang warga Indonesia dihukum penjara 15 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, pada Rabu kerana memperdayakan warga emas untuk membeli batu delima 'sakti'.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Roni Pito, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati memperdayakan Talib Dahlan@Jaslan, 76, iaitu dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM54,500 kepada tertuduh.

Bayaran wang itu untuk membeli batu delima berkenaan yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tunai tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu dilakukan di Bandar Jasin, di sini, pada 5 Oktober 2022.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap tertuduh kerana jumlah kerugian dialami mangsa yang juga warga emas begitu besar.

Dia yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana perlu menyara isteri dan tiga orang anak.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri warga emas rugi RM54,500 apabila terpedaya dengan taktik sekumpulan lelaki menjual batu delima yang didakwa berupaya bercahaya di dalam air dan mengubati penyakit.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, laporan berkaitan kes tersebut telah dibuat oleh mangsa di Balai Polis Jasin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!