Litrak laksana kajian laluan kontra, atasi kesesakan LDP
SHAH ALAM - Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) akan melaksanakan kajian kontra di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) bagi mengurangkan kesesakan trafik pada waktu puncak sebelah petang.
Litrak dalam satu kenyataan memaklumkan, laluan kontra itu akan bermula dari Kilometer (KM)19.2 selepas Canopy A, Plaza Tol Petaling Jaya hingga KM22 dari arah Bandar Sunway ke Putrajaya/ Shah Alam, LDP.
Menurutnya kajian akan dilaksanakan selama tiga bulan bermula 17 Julai 2023 (Isnin) dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam.
"Laluan kontra ini dibuka pada Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum untuk kegunaan kenderaan ringan Kelas 1 atau pengguna kad Touch ‘n Go sahaja.
"Laluan kontra ini juga khusus dan terhad untuk pengguna LDP yang ingin ke Putrajaya/ Shah Alam sahaja," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pengguna lebuh raya dari arah Puchong menghala ke Bandar Sunway/ Petaling Jaya dinasihatkan untuk menggunakan lorong kiri atau jalan alternatif sepanjang tempoh pelaksanaan kajian laluan kontra berkenaan.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pelaksanaan kajian laluan kontra berkenaan seiring dengan pelan tindakan strategik Litrak yang bertepatan dengan hasrat mengurangkan kesesakan trafik kepada pengguna lebuh raya untuk pulang ke rumah.
Untuk sebarang maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi talian bantuan LDP di 03-7494 7333 atau akaun Twitter @LDPTrafik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!