Bekas pegawai khas menteri ditahan minta sogokan RM25,000
PUTRAJAYA - Seorang bekas pegawai khas menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta wang rasuah berjumlah RM25,000 daripada seorang individu.
Difahamkan, sogokan itu sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan jam 5 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"Suspek yang juga penjawat awam tersebut disyaki telah meminta wang rasuah daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan terhadap anak kandungnya pada 2019.
"Pada Jun lalu, suspek telah menghubungi individu terlibat yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015," katanya.
Kata sumber, suspek memaklumkan bahawa surat kelulusan permohonan taraf warganegara telah ada padanya seterusnya meminta individu terlibat membayar wang berjumlah RM25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan itu.
"Penahanan suspek dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar SPRM menyiasat lanjut berhubung amalan rasuah oleh segelintir pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.
Susulan penahanan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan suspek direman tiga hari bermula Rabu setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!