Hampir 1 juta rakyat Malaysia kurang zat
KUALA LUMPUR - Hampir satu juta penduduk di negara ini berada dalam kategori kurang zat disebabkan tidak mengamalkan atau sukar mendapat makanan yang berkhasiat.
Pengarah dan Penasihat Pertumbuhan, Bahan Kimia, Bahan-Bahan serta Pemakanan Frost and Sullivan Asia Pasific, Nikhil Vallabhan berkata, menurut analisis dan data oleh Frost and Sullivan GIC Malaysia Sdn Bhd bagi tempoh 2017 hingga 2020, bagi negara ASEAN, seramai 63.4 juta individu berada dalam kategori tersebut.
“Daripada 63.4 juta orang di negara ASEAN yang kurang zat itu, hampir satu juta daripadanya adalah penduduk Malaysia.
"Selain itu, Indonesia pula mencatatkan sebanyak 24.1 juta orang tidak mendapat nutrisi yang mencukupi.
“Singapura satu-satunya negara yang hampir berjaya membanteras masalah kekurangan zat makanan,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian kepada media pada program Hong Leong Investment Bank (HLIB)-Bursa Malaysia Stratum Focus Series 15 yang bertajuk ‘Good Security: Where Are We Now?’
Menurut beliau, makanan ringan dan bergoreng antara penyumbang kepada kekurangan zat.
Selain itu katanya, kanak-kanak dan remaja berumur antara lima hingga 19 tahun di negara ini adalah paling tinggi dalam kategori berat badan berlebihan iaitu sebanyak 29.8 peratus.
Jelas beliau, bagi berat badan normal pula, Malaysia mencatatkan sebanyak 10 peratus yang mana berada di belakang Singapura (dua peratus), Brunei (enam peratus) dan Thailand (lapan peratus).
“Ini adalah beberapa cabaran utama dalam negara ASEAN berkenaan isu pemakanan dan kesihatan.
“Sebahagian daripada masalah adalah terlalu bergantung pada makanan yang diproses ataupun kekurangan akses kepada makanan berkhasiat,” ujarnya.
Tambah Nikhil, perkara tersebut perlu diatasi bagi memastikan lebih ramai rakyat di negara ini tidak berada dalam golongan kurang zat.
Jelasnya, antara usaha yang perlu dilakukan adalah dengan meningkatkan lagi akses makanan berkhasiat.
Menurut beliau, oleh demikian, amalan pertanian lama perlu digantikan dengan penyediaan mesin ringkas seperti penuai dan gabungan mekanikal, penyimpanan hermetik serta penuai gabungan.
Katanya, bagi penyediaan dana pula, pembiayaan berpusat kepada petani tidak akan memberikan impak terlalu besar dalam jangka masa yang panjang.
“Kerajaan perlu bekerjasama dengan koperasi tempatan untuk mendapatkan dana pengeluaran,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pelaburan Hong Leong, Lee Jim Leng berkata, sebanyak 345 juta individu di 79 negara menghadapi atau berisiko dengan krisis makanan pada tahun ini.
“Malaysia tidak terlepas. Krisis makanan global telah menyebabkan kekurangan bahan makanan tertentu di negara kita seperti ayam, telur, sayur-sayuran dan juga makanan laut.
“Ia memberi tekanan yang lebih besar kepada bekalan makanan menyebabkan harga melambung tinggi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!