Remaja 14 tahun, abang ipar ditahan bersama dadah
KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki warga Thailand berusia 14 tahun dan abang iparnya ditahan bersama 189.15 gram dadah dipercayai jenis heroin dengan anggaran nilai RM12,400.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kedua-dua suspek berada di dalam sebuah kereta ketika diberkas kira-kira jam 1 pagi di tepi jalan Kampung Padang Midin, di sini, Sabtu lalu.
Menurutnya, setelah diperiksa, pihak polis mendapati terdapat 17 botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki heroin dengan anggaran berat 105.094 gram dengan anggaran nilai RM6,800 di atas brek tangan kereta itu.
“Polis menahan kedua-dua suspek dan hasil penahanan itu membawa kepada penemuan sebanyak 14 botol lagi dadah jenis yang sama di Kampung Balai Maras, di sini, dengan anggaran berat 84.11 gram dan dianggarkan bernilai RM5,600.
“Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 31 botol plastik yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Allaudeen berkata, pihaknya percaya ketika ditahan remaja terbabit dan abang iparnya yang berusia 45 tahun sedang menunggu pelanggan.
“Hasil siasatan kita juga mendapati lelaki ini bertindak bersendirian untuk membekal dadah ini di kawasan sekitar Wakaf Tapai, Marang dan sekitar Kuala Terengganu.
“Suspek tidak terlibat dalam sebarang sindiket dadah dan siasatan kes ini akan diteruskan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!