Polis belum terima laporan murid digigit guru
KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan seorang murid digigit di bahagian bibir oleh gurunya walaupun kejadian itu tular sejak Ahad lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya telah menyemak dengan semua ketua polis daerah, namun tiada laporan yang diterima.
"Jadi saya menyeru ibu kepada murid tersebut tampil ke balai polis berhampiran.
"Sekiranya ibu tersebut mahu mengambil tindakan undang-undang, dia sepatutnya sudah membuat laporan polis," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan ibu kepada murid yang didakwa digigit seorang guru melahirkan rasa bimbang melihat situasi terkini anak lelakinya yang mengalami emosi tidak stabil dan kurang selera makan.
Katanya, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu juga sering mengamuk, berguling-guling serta berasa takut dan tidak mahu ke sekolah.
"Sebagai ibu, saya bimbang melihat keadaan anak selepas kejadian yang berlaku Khamis lalu.
"Kebiasaannya dia seorang yang ceria. Saya telah berjumpa pihak pentadbiran sekolah dan akan mengambil tindakan undang-undang di atas apa yang berlaku" ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan gigit murid, beri ruang pihak berkuasa jalan siasatan
Murid digigit guru, kini kurang selera makan, emosi tidak stabil
KPM siasat dakwaan murid digigit guru lelaki
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!