Loftus-Cheek sedia jadi 'pemimpin'
RUBEN Loftus-Cheek bersedia untuk melaksanakan konsep kepimpinan melalui tauladan di AC Milan selepas perpindahan pemain tengah itu dari kelab zaman kanak-kanaknya, Chelsea.
Pemain England berusia 27 tahun itu berpindah ke Rossoneri selepas menghabiskan 19 tahun di Stamford Bridge, yang menyaksikan ia merangkul Liga Perdana Inggeris, Liga Europa dan Piala Super UEFA.
Malah Loftus-Cheek telah melakukan lebih 155 penampilan dan menjaringkan 13 gol sebelum menandatangani perjanjian empat tahun bersama Milan.
“Saya faham betapa berat apabila menyarung jersi AC Milan dan tanggungjawab apabila menyertai kelab ini.
“Saya mempunyai banyak pengalaman dalam bola sepak, dan boleh menggunakannya. Saya bersedia dan baik dari segi fizikal untuk menghasilkan persembahan bermutu buat pasukan dan bersedia untuk menjadi pemimpin.
“Saya gembira apabila dapat bermain untuk kelab zaman kanak-kanak saya, tetapi saya tidak berasa benar-benar berpuas hati dengan berapa banyak yang saya sumbangkan kepada pasukan. Saya mempunyai lebih banyak untuk diberikan.
“Jadi, saya fikir ia adalah masa yang baik untuk membuat permulaan baharu,” kata Ruben Loftus-Cheek kepada pemberita.
Sebagai rekod, Loftus-Cheek akan bersatu semula dengan bekas rakan sepasukan Chelsea, Christian Pulisic di San Siro apabila menyifatkan pemain Amerika Syarikat itu akan menjadi nilai tambah hebat.
Untuk makluman, AC Milan akan memulakan persiapan untuk musim baharu di Amerika Syarikat - dalam perlawanan persahabatan menentang Real Madrid, Barcelona dan Juventus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!