Perjuang puisi 'memanusiakan manusia' bina jati diri

Muhammad (tiga dari kiri) ketika majlis perasmian Hari Puisi Kebangsaan 2023 di Rumah Gapena pada Rabu.
Muhammad (tiga dari kiri) ketika majlis perasmian Hari Puisi Kebangsaan 2023 di Rumah Gapena pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Puisi dan sastera perlu diperjuangkan dengan cara 'memanusiakan manusia' bagi membina jiwa, jati diri dan daya saing dalam diri seseorang, kata bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Beliau berkata, melalui Hari Puisi Kebangsaan yang diraikan pada 12 Julai setiap tahun diharapkan menjadikan semangat kecintaan dalam kalangan masyarakat.

"Puisi yang merakamkan sejarah terutamanya berpaksikan pemikiran anak bangsa seharusnya dicatat di dinding bangunan mewah dan jalanan.

"Sebarlah sebanyaknya pemikiran bangsa di dinding bangunan atau pagar penantian orang awam.

"Dengan usaha ini, kita percaya, petunjuk kepada cahaya memahami budaya dan bahasa akan tersentuh di kalbu masyarakat," katanya ketika majlis perasmian Hari Puisi Kebangsaan 2023 di Rumah Gapena di sini pada Rabu.

Menurut Muhammad, misi kini perlu menumpukan kepada melahirkan lebih ramai karyawan berjiwa besar yang memahami kepada tanggungjawab untuk membina bangsa.

Beliau berkata, ia bagi melahirkan karya yang berupaya membina jiwa, menyemarak daya juang dan menjurus kepada pembinaan sebuah tamadun.

"Insya-ALLAH, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) boleh melakukannya. Saya juga percaya menerusi Hari Puisi ini juga, kita bukan sahaja mengenang sumbangan penyair lama yang telah berbakti malah, menyanjungi usaha mereka.

"Lebih bermakna, saya juga dapat melontarkan seruan agar kita terus membina penyair baharu yang tebal jati dirinya dalam memahami keperluan membangun bangsa dan tamadun menerusi bahasa dan budaya.

"Bahasa dan budaya ini menjadi indah dan berkesan dengan genre puisi yang bersifat insaniah dan memenuhi maksud ukhrawi dan jasmaniah," ujarnya.

Dalam masa sama, Muhammad turut berharap terdapat pihak akan memberi ruangan yang besar aktivis seni meletakkan karyanya untuk dikenang generasi muda dan dikagumi di peringkat antarabangsa.

"Ia sesuai dengan tema majlis “Puisi Lambang Peradaban Bangsa”," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!